Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dasar ekonomi membebankan wajar ditolak - Pemuda Bersatu
Diterbitkan:  Jun 18, 2025 11:47 AM
Dikemaskini: 3:54 AM

Pemuda Bersatu (Armada) mengumumkan bahawa mereka akan menyertai perhimpunan “Turun Anwar” yang diterajui PAS pada 26 Julai ini, atas pendirian bahawa sebarang dasar ekonomi yang membebankan rakyat wajar ditolak.

Ini, kata ketua penerangannya Harris Idaham Rashid, khususnya jika ia dilaksana tanpa ketelusan dan tidak berpaksikan realiti kehidupan rakyat.

“Armada Bersatu sepakat untuk menggerakkan ahli-ahli dari seluruh negara bagi menyertai himpunan Turun Anwar yang dijadualkan berlangsung pada 26 Julai ini di Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 14 Jun, Pemuda PAS mengumumkan penjenamaan semula bantahannya terhadap cadangan kerajaan memperkenalkan Akta Pembaharuan Bandar (URA) ditukar kepada gesaan mendesak Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya berundur.

Ketuanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden mendakwa Anwar menjadi ‘ibu’ kepada masalah yang berlaku dalam negara ketika ini.

“Itulah punca masalah Malaysia hari ini. Tukar orang ini, insya-Allah selesai sedikit sebanyak masalah negara.

“Saya tak bermaksud kita nak tebuk atap, tetapi kami yakin ramai lagi orang yang layak untuk jadi perdana menteri dalam PH-BN,” katanya.

Mengulas lanjut, Harris berkata himpunan itu adalah simbol penolakan rakyat, khususnya anak muda terhadap kegagalan kerajaan Madani dalam menangani isu kos sara hidup dan membela kepentingan rakyat terbanyak.

“Sudah tiba masanya anak muda bangkit menyatakan pendirian secara kolektif bahawa rakyat tidak boleh terus dibohongi dengan retorik dan pencitraan,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS