Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong sedia berhadapan tindakan undang-undang daripada pemimpin PAS, Zaharuddin Muhammad, yang mengugut untuk menyaman kerana menuduhnya memainkan sentimen perkauman.
"Saya hanya bersuara melawan tindakan perkauman tersebut dan mempertahankan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Sekarang, kamu nak ambil tindakan undang-undang terhadap saya?
"Saya tidak akan berganjak dari melawan pemimpin PAS itu yang bersikap perkauman, rasis dan menghina perajurit kita.
“Kalau kerana mempertahankan keharmonian masyarakat pelbagai kaum di Malaysia dan martabat ATM maka saya mahu disaman oleh pemimpin PAS itu, saya bersedia!” katanya.
Anggota parlimen Bukit Mertajam daripada DAP itu berkata dia justeru menunggu surat saman daripada peguam Zaharuddin, yang juga menantu Presiden PAS Abdul Hadi Awang.
“Apalah sangat perjuangan kecil saya ini jika dibandingkan dengan nilai perpaduan masyarakat Malaysia dan pengorbanan serta maruah anggota ATM kita," katanya di Facebook, hari ini.

Terdahulu, Zaharuddin menuduh Sim dan ahli politik lain sengaja memutar belit hantarannya untuk menggambarkannya sebagai bersikap perkauman.
Mendakwa menjadi mangsa tafsiran prejudis, dia berkata gambar Mejar Jeneral Datuk Johnny Lim Eng Seng–pegawai kanan berbangsa Cina pertama dinaikkan pangkat kepada Leftenan Jeneral–hanya digunakan sebagai hiasan.
Zaharuddin mendakwa, poin utama tulisannya saya ialah untuk menyedarkan masyarakat terhadap “bahaya” program Malaysia My Second Home (MM2H).
‘Pihak berkuasa kena tegas’
Sementara itu, Sim meminta pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Zaharuddin.

"Beliau sendiri yang menghasut sentimen perkauman dengan memperalat gambar pelantikan Leftenan Jeneral Angkatan Tentera Malaysia berbangsa Cina.
"Malah, parti beliau sendiri turut mengakui ahlinya bertindak sedemikian dalam kenyataan media mereka.
"Saya menggesa sekali lagi agar pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang yang tegas terhadap Zaharuddin," kata Sim.
