Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno sedia pertimbang usul tarik penggantungan Hisham

Umno hari ini menyatakan kesediaan untuk mempertimbangkan usul menarik balik penggantungan keahlian bekas naib presiden parti itu, Hishammuddin Hussein, yang dikemukakan Umno Sembrong.

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, berkata majlis kerja tertinggi (MKT) parti itu boleh mempertimbangkan perkara itu meskipun tiada surat rayuan daripada ahli Parlimen Sembrong.

Ahmad Zahid juga mengesahkan bahawa sehingga kini Hishammuddin tidak pernah mengemukakan rayuan kepada Umno.

"Kita akan tunggu usul yang akan dibawa oleh Menteri Besar Johor (Onn Hafiz Ghazi) yang turut menanggotai Biro Politik Umno dan (seterusnya) dibawa ke MKT," katanya.

Ditanya apakah MKT Umno boleh membuat keputusan menarik balik penggantungan Hishammuddin tanpa surat rayuan dikemukakan oleh individu berkenaan, Ahmad Zahid menjawab: "Boleh".

Ahmad Zahid yang juga timbalan perdana menteri memberitahu, disebabkan tiada surat rayuan dikemukakan sendiri oleh Hishammuddin, MKT Umno akan meneliti surat yang dimajukan Onn Hafiz.

Pun begitu, Ahmad Zahid menegaskan setiap keputusan parti – sama ada menggantung atau memecat ahlinya – dibuat berdasarkan sebab tertentu.

"MKT takkan gantung atau pecat (seseorang) jika tak ada kesalahan (dilakukan)," katanya.

Dia berkata demikian pada sidang media selepas majlis peluncuran Program Desa Kirana @ KKDW di Petaling Jaya, hari ini.

Hasut ahli Umno singkirkan pemimpin

Umno menggantung keahlian Hishammuddin selama enam tahun selepas MKT mengadakan mesyuarat pada pada hujung Jan 2023.

Turut dikenakan hukuman bersama Hishammuddin ialah Timbalan Ketua Pemuda Umno Malaysia, Shahril Hamdan Suffian, Noh Omar (bekas Ahli Parlimen Tanjung Karang), Salim Sharif (bekas Ahli Parlimen Jempol) dan bekas Adun Tiram, Maulizan Bujang.

Noh bagaimanapun meminta agar Umno memecatnya.

Umno tidak menyatakan sebab-sebab mereka digantung.

Umno Sembrong pada 21 Jun lalu menggesa Umno menarik balik penggantungan terhadap Hishammuddin secara serta-merta dan tanpa syarat.

Ketua Umno Sembrong Abdul Ghani Abdul Rashid berkata ia adalah kali kedua dalam tempoh dua tahun mereka meluluskan usul berkenaan.

Hishammuddin, 63, merupakan antara tokoh berprofil tinggi yang dikenakan tindakan disiplin oleh Umno. Selain pernah menjadi naib presiden, anak kepada perdana menteri ketiga Malaysia itu pernah menjawat pelbagai jawatan kanan termasuk menteri pertahanan.

Sementara itu dalam sidang media hari ini, Ahmad Zahid mendedahkan tiga kesalahan yang dilakukan oleh "individu tertentu" dalam Umno yang menyebabkan mereka diambil tindakan oleh parti.

Antara kesalahan itu, kata Ahmad Zahid, ialah menarik 10 ahli parlimen BN untuk menandatangani akuan bersumpah bagi menyokong PN membentuk kerajaan selepas PRU ke-15.

Selain itu individu terbabit didakwa menghasut 22 ketua bahagian di Sabah keluar parti sehingga menyebabkan Umno tersungkur daripada kuasa, serta menghasut ahli serta pemimpin parti menyingkirkan Ahmad Zahid daripada jawatan Pengerusi BN sebelum kerajaan perpaduan dibentuk.

"Saya tidak merujuk sesiapa.

“Rakan-rakan media fikirlah sendiri siapa orang itu ya… kalau orang tu bertanya – apa salah saya. Justeru itulah jawapannya," kata Ahmad Zahid lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS