Pemuda PAS menyifatkan pertemuan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin bersama ketua-ketua parti pembangkang akan lebih kuat sekiranya dihadiri oleh pemimpin PAS.
Ketuanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden bagaimanapun berkata pihaknya tiada maklumat mengenai ketidakhadiran pemimpin utama PAS ke pertemuan itu malam tadi.
“Saya tak tahu apa yang berlaku di sebalik pertemuan itu, secara pentadbiran teknikalnya saya tak pasti, tapi saya rasa kalau PAS hadir lebih memperkuatkan pertemuan itu.
“PAS tak hadir pertemuan itu tetap berlangsung, kalau PAS hadir akan lebih memperkuatkan pertemuan itu.
“Saya rasa PAS akan hadir kalau dijemput,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Pemuda PAS Kelantan di Kota Bharu, hari ini.
Afnan yang juga Ahli Parlimen Alor Setar berkata demikian ketika ditanya mengenai ketiadaan pemimpin utama parti itu dalam pertemuan rentas parti antara Muhyiddin dan ketua-ketua parti pembangkang yang berlangsung, semalam.

Malam tadi Malaysiakini melaporkan, Muhyiddin membentangkan beberapa cadangan dalam pertemuan itu, termasuk membentuk persefahaman antara parti pembangkang bagi memperkukuh mekanisme semak dan imbang di dalam dan luar Parlimen.
Perkara itu katanya, dijangka akan dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden PN hujung minggu ini.
Pemimpin pembangkang lain yang hadir ialah Tmbalan Presiden Bersatu dan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin, Presiden Gerakan Dominic Lau, Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) Punithan Paramsiven, Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir, dan Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra)Ibrahim Ali.
Turut hadir Ketua Belia Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP) Sathiah Sudakaran, Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) Zamani Ibrahim, residen Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) P Ramasamy, dan Presiden Parti Kemajuan Malaysia (MAP) P Waytha Moorthy.
Bagaimanapun pertemuan tersebut menimbulkan tanda tanya apabila tiada kelibat pemimpin PAS.
Mengulas lanjut Afnan berkata, maklumat mengenai pertemuan itu mungkin diketahui pemimpin utama PAS.
“Saya tiada maklumat tentang pertemuan itu, mungkin ada maklumat dengan pemimpin utama parti.
“Bagaimanapun saya sifatkan itu satu pertemuan yang bagus, baik untuk membina kekuatan pembangkang merentas parti dan politik
“Saya kira (pertemuan) itu, Muhyiddin memainkan peranannya sebagai pengerusi PN,” jelasnya.
