Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Presiden PAS tak sertai pertemuan dengan Muhyiddin kerana ada program lain'

Ketiadaan pemimpin PAS dalam pertemuan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin dengan ketua-ketua parti pembangkang disebabkan presidennya mempunyai program lain.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan perkara itu ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Katanya, perbincangan yang diadakan oleh Muhyiddin itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN nanti.

“Kebetulan presiden mempunyai program yang telah diterima lebih awal dan tidak dapat dielakkan,” katanya ringkas.

Dia berkata demikian ketika ditanya berhubung ketiadaan pemimpin PAS dalam pertemuan rentas parti melibatkan pembangkang bersama Muhyiddin yang diadakan semalam.

Bagaimanapun tidak jelas mengapa Presiden PAS tidak menghantar wakil bagi menghadiri pertemuan itu.

Semalam Malaysiakini melaporkan, Muhyiddin membentangkan beberapa cadangan dalam pertemuan itu, termasuk membentuk persefahaman antara parti pembangkang bagi memperkukuh mekanisme semak dan imbang di dalam dan luar Parlimen.

Perkara itu katanya, dijangka akan dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden PN hujung minggu ini.

Pemimpin pembangkang lain yang hadir ialah Tmbalan Presiden Bersatu dan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin, Presiden Gerakan Dominic Lau, Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) Punithan Paramsiven, Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir, dan Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Ibrahim Ali.

Turut hadir Ketua Belia Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP) Sathiah Sudakaran, Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) Zamani Ibrahim, residen Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) P Ramasamy, dan Presiden Parti Kemajuan Malaysia (MAP) P Waytha Moorthy.

Bagaimanapun pertemuan tersebut menimbulkan tanda tanya apabila tiada kelibat pemimpin PAS kelihatan.

Sementara itu Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz berkata, PAS turut dijemput ke pertemuan itu dan ketidakhadiran mereka boleh difahami.

“Memandangkan pertemuan ini bersifat santai dan tidak mengikat, ketiadaan PAS dalam pertemuan semalam boleh difahami lebih-lebih lagi PAS baru sahaja selesai menganjurkan program besar di Alor Setar,” kataya yang merujuk kepada program Himpunan Mandat Negarawan yang turut dihadiri bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

“Lagipun, seperti yang dinyatakan Tan Sri Muhyiddin, maklum balas dan pandangan-pandangan bernas dalam pertemuan ini akan dibawa pula ke mesyuarat Majlis Tertinggi PN untuk diperhalusi serta diputuskan secara konsensus di bawah plafform rasmi PN,” tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS