Perhimpunan Bersih: PAS buat penjelasan
PAS berkata parti itu tidak pernah mendakwa Yang di-Pertuan Agung terbabit dalam perhimpunan aman Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) atau Tuanku bersetuju di atas kandungan memorandum yang diserahkan oleh Bersih.
PAS berkata parti itu tidak pernah mendakwa Yang di-Pertuan Agung terbabit dalam perhimpunan aman Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) atau Tuanku bersetuju di atas kandungan memorandum yang diserahkan oleh Bersih.
Setiausaha Akhbar Presiden PAS, Roslan Shahir menjelaskan bahawa kenyataan Setiausaha Agung PAS, YB Datuk Kamarudin Jaffar Isnin lalu bermaksud Bersih terlebih dahulu menerima perkenan dari Baginda untuk menyerahkan memorandum rakyat jelata itu ke Istana Negara pada hari Sabtu berkenaan.
"Bersih berlapang dada atas apa sahaja tindakan yang bakal Tuanku ambil terhadap memorandum tersebut," katanya dalam satu kenyataan.
"PAS tidak pernah sekali-kali mengeluarkan kenyataan bahawa pihak istana, khasnya Seri Paduka terlibat dalam apa bentuk sekalipun, dalam menjayakan perhimpunan Aman Bersih pada 10 November 2007 .
"Perhimpunan tersebut adalah perhimpunan aman masyarakat sivil, iaitu rakyat Malaysia yang bangun menuntut hak mereka bagi memulihkan sistem pilihanraya, iaitu tunggak amalan demokrasi negara, yang terbukti semakin tercemar dan tempang," tambahnya.
Jumaat lalu, dalam satu kenyataan , Seri Paduka telah melahirkan rasa kesal dengan dakwaan kononnya baginda dan Istana Negara memperkenan dan menyokong perhimpunan haram tersebut.
Sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menuduh bahawa penyerahan memorandum Bersih kepada Yang di-Pertuan Agong Sabtu lalu sebagai cubaan parti pembangkang untuk mengheret institusi Raja-Raja Melayu, terutama Seri Paduka sendiri, ke dalam kancah politik.
Sementara itu, Roslan menjelaskan, melalui gabungan Bersih, PAS bersama dengan 60 badan bukan kerajan (NGO) dan parti-parti politik yang lain, telah turun ke Kuala Lumpur untuk berhimpun secara aman dan menyerahkan memorandum tuntutan atas nama Bersih kepada Yang di-Pertuan Agong.
Menurutnya, ia di buat atas keyakinan bahawa Seri Paduka adalah payung dan pelindung rakyat dalam keadaan rakyat mula mencurigai sistem pilihanraya yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR).
"PAS menyeru agar jangan ada mana-mana pihak cuba melaga-lagakan iantara akyat jelata dengan Seri Paduka Baginda atau Raja-raja Melayu atau pihak istana.
"PAS tidak pernah dan tidak akan sekali-kali memperjudi atau menggadaikan kesetiaanya kepada Raja dan Negara," tegas Roslan.

