Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Akmal tiba di mahkamah diiringi sorakan, selawat
Diterbitkan:  Aug 22, 2025 9:40 AM
Dikemaskini: 2:31 AM

Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh tiba di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di Pulau Pinang untuk dihadapkan dengan pertuduhan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan berhubung kesalahan mengancam ketenteraman awam.

Pertuduhan itu berkaitan satu hantaran Facebooknya yang tidak dinyatakan, dipercayai mengenai kemarahannya berhubung isu bendera terbalik.

Ketibaan Akmal sekitar jam 8.20 pagi tadi disambut sorakan. Dia diiringi lebih 100 penyokong, dipercayai ahli Umno, yang melaungkan selawat sambil dia menyapa penyokongnya sebelum masuk ke mahkamah.

Penyokongnya tidak dibenarkan masuk ke kawasan mahkamah dan pintu pagar ditutup selepas Akmal masuk.

Dua hari lalu, susulan makluman Jabatan Peguam Negara yang dia akan didakwa, Akmal berkata dia yang sedang menunaikan umrah akan memendekkan ibadah tersebut untuk pulang dan berdepan pertuduhan.

Jika ini harga yang saya perlu bayar untuk memartabatkan kedaulatan negara,saya tidak akan berganjak walau seinci sekalipun,” katanya.

Minggu lalu, Akmal mengetuai lebih 100 penunjuk perasaan, termasuk anggota Pemuda Umno dan Bersatu, berhimpun di Kepala Batas, Pulau Pinang untuk “mengajar” seorang pemilik kedai perkakasan yang dirakam dalam video menggantung Jalur Gemilang secara terbalik.

Adun Merlimau itu menegaskan himpunan itu diadakan secara aman dan bertujuan menyampaikan mesej jelas bahawa rakyat tidak akan bertolak ansur dengan perbuatan tidak menghormati lambang negara.

Turut ada di sana adalah NGO Lawyers for Liberty yang mengadakan tunjuk perasaan balas bagi melindungi pemilik kedai, Pang Chin Tian, daripada gangguan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS