Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DUN Sabah bubar, pilihan raya dalam 60 hari
Diterbitkan:  Oct 6, 2025 2:54 PM
Dikemaskini: 8:05 AM

Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, membuka laluan untuk pilihan raya negeri ke-17.

Pengumuman dibuat semasa majlis bersama wakil rakyat Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Menara Kinabalu, pusat pentadbiran kerajaan negeri, sebentar tadi.

Keputusan itu diumumkan oleh Ketua Menteri Hajiji Noor selepas mengadakan perjumpaan dengan wakil rakyat kerajaan di tempat sama awal petang ini.

Terdahulu, kenderaan yang membawanya memasuki Istana Seri Kinabalu pada 8.51 pagi, diikuti kenderaan membawa yang Dipertua Negeri Sabah Musa Aman pada 9.20 pagi.

Hajiji Noor

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Timbalan Ketua Menteri Joachim Gunsalam yang juga pemangku presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) serta anggota kabinet negeri.

Presiden parti komponen GRS turut hadir, iaitu Pandikar Amin Mulia (Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu/Usno), Chin Su Phin (Parti Liberal Demokratik/LDP), Liew Yun Fa (Parti Harapan Rakyat Sabah) dan Anifah Aman (Parti Cinta Sabah/PCS).

Turut hadir Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah Ewon Benedick yang juga presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko), serta pengerusi DAP negeri Phoong Jin Zhe.


Baca: ‘Kerja belum selesai’, Hajiji mohon mandat baru


DUN Sabah mempunyai 79 kerusi, dengan 73 daripadanya dipertandingkan manakala enam lagi dilantik.

Pada PRN lalu, GRS yang ketika itu berada dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) dan BN, serta PBS, membentuk kerajaan dengan penguasaan 41 daripada 73 kerusi.

Parti Warisan mempunyai 23 kerusi manakala Pakatan Harapan (PH) dengan sembilan kerusi.

GRS didaftarkan secara rasmi pada Mac 2022 dianggotai Bersatu, PBS, Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Maju Sabah (SAPP), tanpa penyertaan BN dan PAS.

Bagaimanapun, pada November tahun sama, Hajiji dan pemimpin Bersatu keluar dan menubuhkan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat. Bersatu kemudian digugurkan daripada GRS.

Pada Januari 2023, BN menarik balik sokongan terhadap kerajaan Sabah yang ketika itu dipimpin GRS namun PH mengambil keputusan untuk menyokong kerajaan negeri seterusnya mengekalkan sedia ada dan Hajiji sebagai ketua menteri.

STAR serta SAPP akan bertanding secara berasingan dengan menggunakan logo masing-masing, menyebabkan mereka tidak lagi dianggap sebahagian daripada GRS.

GRS kini dianggotai oleh Gagasan Rakyat, PBS, Usno, LDP, Harapan Rakyat serta PCS. Gabungan itu mempunyai 42 kerusi DUN.

Kerusi lain seperti berikut: Warisan (14), BN (12), PH (7), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (2) dan PAS (1).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS