Parlimen tolak usul bahas denda Fifa pada FAM
Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul menolak usul tergempar seorang anggota parlimen kerajaan untuk membahaskan denda Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan.
Keputusan itu disampaikan oleh speaker menerusi surat bertarikh 9 Okt kepada anggota parlimen Kampar Chong Zhemin yang menyerahkan usul tersebut pada 7 Okt.
Dalam surat yang dikongsi dengan Malaysiakini, Johari berkata isu itu telah dijawab oleh Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail di parlimen semalam semasa sesi soal jawab menteri.
Usul itu ditolak berdasarkan Peraturan Mesyuarat 18(7)(b).
Menurut Peraturan Mesyuarat 18(7)(b), speaker boleh menolak mana-mana usul yang dikemukakan kepadanya jika dia berpuas hati bahawa perkara yang dibangkitkan telah dibahaskan dalam sidang semasa dan bahawa menteri berkenaan telah memberikan penjelasan.

Sebelum ini, dalam surat kepada setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin, Chong menekankan bahawa perkara itu menimbulkan persoalan serius mengenai ketelusan tadbir urus sukan negara, proses naturalisasi atlet, dan tahap pengawasan ke atas dokumen rasmi negara.
Surat itu menyebut bahawa terdapat kemungkinan berlaku pelanggaran undang-undang melibatkan pemalsuan dokumen rasmi, yang memerlukan penyiasatan menyeluruh dan tindakan segera pihak berkuasa.
Dia menambah bahawa parlimen perlu membahaskan dan memutuskan langkah segera kerajaan, termasuk menjelaskan kepada awam mengenai tindakan pentadbiran, tatatertib, dan undang-undang yang akan diambil terhadap FAM dan mana-mana individu yang terlibat dalam dakwaan salah laku.

Selain menetapkan garis panduan dan prosedur yang lebih ketat untuk mengesahkan dokumen bagi naturalisasi atlet, dia juga menggesa audit komprehensif bagi semua kes naturalisasi atlet yang sedang berjalan untuk memastikan pematuhan undang-undang dan peraturan yang berkaitan.
Usul itu seterusnya mendesak penubuhan suruhanjaya siasatan diraja untuk menyiasat punca kegagalan dalam proses pengesahan dan menentukan sama ada terdapat pemalsuan dokumen rasmi negara.
Terdahulu, Saifuddin pagi semalam memberitahu Dewan Rakyat bahawa dia telah menggunakan kuasa yang diberikan oleh Perlembagaan untuk mempertimbangkan permohonan tujuh pemain warisan untuk diberikan kerakyatan Malaysia.
Saifuddin menjelaskan bahawa Seksyen 20(1)(e) memperuntukkan kuasa budi bicara kepada Menteri Dalam Negeri dalam menilai permohonan kewarganegaraan warga asing, khususnya berkaitan syarat minimum tempoh pemastautin.
Dia menegaskan bahawa ketujuh-tujuh pemain tersebut memenuhi semua syarat undang-undang untuk diberikan kewarganegaraan melalui naturalisasi, termasuk kemahiran dalam Bahasa Malaysia.
Menurut Saifuddin, para pemain itu juga lulus ujian asas Bahasa Malaysia yang dijalankan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Pada 26 Sept, Fifa mengenakan tindakan terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain kerana melanggar Artikel 22 Kod Disiplin Fifa (FDC) berhubung pemalsuan dokumen.
Fifa memutuskan bahawa FAM perlu membayar denda sebanyak 350,000 franc Swiss (RM1.9 juta), manakala setiap tujuh pemain terbabit turut dikenakan denda sebanyak 2,000 franc Swiss (RM10,500).
Tujuh pemain itu adalah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui, dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
Mereka juga digantung daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak selama 12 bulan.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/08/b32e77cd276e72e0931384e42f5bb3a2.jpg)

/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/08/b32e77cd276e72e0931384e42f5bb3a2.jpg)
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/03/7950ca0a134ebb3fb6afb727e02eeb03.jpg)
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/03/fddabccb9192b6223b82b406735d7515.jpg)
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/08/474c26f9d15c44de4f46142be2243c7e.jpg)
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/04/9345980f948f376d3564c9d35bd5c9e9.jpg)