Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
CAP: Beri diskaun saman trafik ibarat persenda undang-undang
Diterbitkan:  Oct 29, 2025 12:09 PM
Dikemaskini: 4:33 AM

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya menghentikan segera amalan menawarkan diskaun terhadap saman trafik.

Gesaan itu, termasuk potongan 70 peratus yang diumumkan bagi tempoh 1 November hingga 30 Disember 2025.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader, berkata tawaran diskaun sebegitu bukan sahaja mempersendakan undang-undang, malah menjejaskan kredibiliti agensi penguatkuasaan.

Mohideen Abdul Kader

“Dengan berulang kali memberikan diskaun besar kepada pesalah trafik, pihak berkuasa menghantar mesej berbahaya bahawa melanggar undang-undang hanya membawa akibat yang sedikit.

“Pesalah hanya boleh menunggu pusingan diskaun yang seterusnya untuk menjelaskan bayaran mereka dengan sebahagian kecil daripada penalti asal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohideen, pendekatan itu bukan saja menghakis penghormatan terhadap undang-undang tetapi juga menjejaskan keselamatan jalan raya.

Pada 22 Oktober lalu, kerajaan mengumumkan tawaran diskaun sehingga 70 peratus bagi saman trafik sehingga hujung tahun ini sebelum melaksanakan peraturan baru yang lebih seragam mulai awal 2026.

Pemberian diskaun itu diumumkan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail pada sidang media di Parlimen.

Menurut kedua-dua menteri itu, diskaun berkenaan akan diberikan antara 1 November hingga 30 Disember tahun ini, sebagai galakan kepada rakyat Malaysia untuk melunaskan saman masing-masing sebelum pelaksanaan dasar baru dengan tagline “lebih cepat bayar, lebih rendah dibayar” yang akan bermula pada 1 Januari 2026.

Mengulas lanjut, Mohideen berkata, peraturan lalu lintas diwujudkan untuk melindungi nyawa, mencegah kemalangan serta mendidik pemandu menjadi lebih bertanggungjawab — namun tawaran diskaun tersebut bertentangan dengan matlamat itu.

“Pemandu yang patuh undang-undang dan membayar saman tepat pada masanya menjadi mangsa apabila pesalah tegar diberi ganjaran dengan potongan harga.

“Ia tidak adil dan menumbuhkan budaya tidak bertanggungjawab di kalangan pengguna jalan raya,” katanya.

Dia menegaskan kerajaan perlu menegakkan kedaulatan undang-undang dengan memastikan hukuman dilaksanakan secara adil dan konsisten, tanpa sebarang keistimewaan.

Fokus utama, kata presiden CAP itu, harus diberikan kepada penguatkuasaan berkesan, pendidikan keselamatan jalan raya, dan pemungutan denda yang cepat, bukan dengan menawar diskaun yang menormalisasi pelanggaran undang-undang.

“Kerajaan mesti hentikan amalan tidak produktif ini dan pulihkan keyakinan orang ramai terhadap integriti sistem penguatkuasaan negara.

“Polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mestilah menumpukan kepada pengukuhan penguatkuasaan dan mengambil tindakan segera terhadap pesalah,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS