Pihak Roblox menyuarakan kesedihan mendalam berhubung insiden seorang kanak-kanak yang cedera parah dikelar abang sendiri dalam insiden yang dikaitkan dengan permainan video dalam talian tersebut.
Dalam kenyataan kepada Malaysiakini, jurucakap Roblox mengucapkan takziah kepada keluarga terbabit.
Katanya, Roblox komited terhadap aspek keselamatan melibatkan permainan tersebut dan sentiasa berhubung dengan kerajaan dan percaya permainan itu berperanan positif dan bermanfaat untuk masyarakat Malaysia, khususnya dalam menyokong pembelajaran dan kreativiti.
“Walaupun tiada sistem yang sempurna, kami mempunyai rangka langkah keselamatan yang kukuh, proaktif dan pencegahan yang direka untuk menguatkuasakan piawaian komuniti kami serta mengesan dan mencegah sebarang aktiviti berbahaya atau berniat jahat di platform kami,” katanya.
Untuk mengatasi isu tersebut, katanya, mereka akan mempertingkat sistem keselamatan terutamanya dalam aspek moderasi kandungan, penetapan kandungan mengikut kesesuaian umur, serta usaha membanteras pemangsaan dalam talian (grooming).
“Roblox memperuntukkan sumber yang besar bagi mengesan dan menghalang kandungan serta tingkah laku yang tidak sesuai dalam permainan,” katanya lagi.
Menurut syarikat itu, semua bentuk komunikasi atau dialog antara pemain di platform Roblox tertakluk kepada penapis automatik yang direka untuk menyekat penggunaan bahasa kesat, perkongsian maklumat peribadi dan pautan luar.
Selain itu, katanya, tanda-tanda penyalahgunaan dalam komunikasi sembang suara (voice chat) juga dipantau menggunakan sistem pengesanan berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang akan mencetuskan tindakan pantas sekiranya dikesan wujud pelanggaran dasar.
Dasar toleransi sifar
Sistem itu, tambahnya lagi, sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan pengguna, khususnya golongan kanak-kanak.
Roblox turut menekankan peranan penting ibu bapa dalam memantau aktiviti anak-anak di platform tersebut.
“Ibu bapa boleh menyekat atau mengehadkan permainan tertentu, atau keseluruhan kategori permainan berdasarkan penarafan kematangan kandungannya,” katanya.
Selain itu, katanya, ibu bapa boleh mengehadkan fungsi sembang kepada senarai kenalan yang dipilih, mematikan ia sepenuhnya, serta menyekat atau melaporkan pengguna dalam senarai rakan anak mereka sekiranya terdapat komunikasi yang tidak berfaedah.
Menurut Roblox, melindungi kanak-kanak dalam talian merupakan cabaran industri secara keseluruhan, dan syarikat itu mempunyai toleransi sifar terhadap sebarang tingkah laku yang boleh membahayakan kanak-kanak.
Bagi membanteras isu grooming atau gangguan seksual kanak-kanak dalam permainan, Roblox pada Ogos lalu memperkenalkan Roblox Sentinel — model sumber terbuka berasaskan AI yang direka bagi membantu mengesan interaksi berisiko tinggi melibatkan kanak-kanak, agar tindakan segera dapat diambil.

“Kami berusaha mencegah perkara ini, namun kami juga mengakui bahawa ia adalah isu yang memerlukan kerjasama erat antara kerajaan dan seluruh industri,” katanya.
Pagi tadi, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata pihak Roblox turut memaklumkan kesediaan mereka untuk bekerjasama dengan kerajaan terutama dalam perkongsian data dan pematuhan terhadap peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Yeoh menzahirkan kebimbangan mengenai keselamatan kanak-kanak kepada pihak Roblox yang popular sebagai aplikasi permainan dalam talian.
"Kita mahu dunia digital yang bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga membina karakter dan nilai yang betul untuk generasi akan datang," katanya yang turut memuat naik gambar dirinya bersama pihak Roblox.

Berhubung kandungan mengikut kesesuaian umur, Roblox menjelaskan, setiap permainan di platform tersebut diberikan label kematangan kandungan bagi membantu pengguna membuat keputusan tepat tentang kandungan yang ingin diakses.
Label itu, katanya, dibangunkan berdasarkan piawaian industri global dan hasil perbincangan bersama pakar perkembangan kanak-kanak.
Ibu bapa juga boleh mengawal tahap kematangan kandungan yang boleh dilihat oleh anak mereka melalui tetapan kawalan ibu bapa (parental controls).
Untuk menentukan label kematangan yang sesuai bagi setiap permainan, pembangun sesebuah permainan itu perlu melengkapkan soal selidik penilaian kandungan dan kemudiannya akan disemak oleh pasukan moderator Roblox.
Roblox turut bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan untuk berkongsi maklumat serta amalan terbaik dalam keselamatan digital, termasuk mendapat panduan daripada Lembaga Penasihat Keselamatan (Safety Advisory Board) yang terdiri daripada pakar keselamatan global seperti ConnectSafely, Family Online Safety Institute (FOSI) dan Better Internet for Kids.
