mk-logo
Berita
Kebenaran akan terserlah, kata peguam Shamsul
Diterbitkan:  Nov 29, 2025 1:04 PM
Dikemaskini: 5:34 AM

Yusmadi Yusoff berharap siasatan rasuah terhadap anak guamnya Shamsul Iskandar Mohd Akin diselesaikan segera.

Peguam kepada bekas setiausaha politik kanan perdana menteri itu berkata dia yakin “kebenaran akan terserlah” dalam kes itu.

“Saya menyeru kawan-kawan dan keluarga untuk terus berdoa untuk Datuk Seri Shamsul,” kata bekas senator PKR itu kepada pemberita selepas prosiding reman di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

Mahkamah hari ini memberikan perintah reman enam hari terhadap Shamsul Iskandar dan ahli perniagaan Albert Tei susulan siasatan rasuah melibatkan nilai lebih RM600,000.

Siasatan dibuat setelah Tei mendedahkan dia menyalurkan dana kepada Shamsul melalui pelbagai pembelian dan bayaran, termasuk tunai, bagi mendapat kembali wang yang disalurkan kepada ahli-ahli politik di Sabah.

Shamsul meletakkan jawatan tidak lama selepas Malaysiakini meminta komennya berkaitan dakwaan itu tetapi mendakwa terdapat percubaan menyerangnya untuk merosakkan imej kerajaan.

Menurut Yusmadi, SPRM pada mulanya memohon tempoh reman selama seminggu namun majistret menetapkan enam hari selepas mempertimbangkan faktor kesihatan Shamsul, yang mempunyai sejarah penyakit jantung, diabetes dan darah tinggi.

Dia berkata pihaknya telah menyerahkan dokumen perubatan berkaitan kepada mahkamah dan SPRM, selain memaklumkan bahawa Shamsul turut menerima rawatan ketika berada dalam tahanan semalam.

“Setakat ini, kerjasama daripada pihak SPRM adalah baik. Semua urusan disalurkan melalui saya dan keluarga. Kami berharap siasatan ini dapat disiapkan dengan cepat,” katanya.

Dia turut menyuarakan penghargaan kepada SPRM yang membenarkan Shamsul untuk mendapatkan rawatan, dan berkata kerjasama antara kedua-dua pihak berjalan lancar.

Diminta mengulas serbuan SPRM di rumah ahli perniagaan Albert Tei, yang turut direman hari ini, Yusmadi berkata dia tidak mengetahui perinciannya memandangkan Tei bukan anak guamnya.

Dia juga berkata prosiding reman kedua-dua individu itu dibuat berasingan.

“Saya tidak boleh komen mengenai apa yang berlaku kepada pihak lain kerana dia bukan anak guam saya. Tetapi bagi Datuk Seri Shamsul, semuanya berjalan secara profesional setakat ini,” katanya.

Shamsul ditahan SPRM semalam setelah memberi keterangan di ibu pejabat agensi berkenaan. 

SPRM berkata siasatan ke atas Shamsul dibuat mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009, berhubung kesalahan menerima wang berkaitan urusan perolehan kerajaan.

Tei turut ditahan semalam manakala wanita yang didakwa sebagai proksi Shamsul, Sofia Rini Buyong ditahan sehari sebelumnya.

SPRM juga menahan dua lagi individu untuk membantu siasatan — ahli perniagaan yang membuat dakwaan dan seorang wanita. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS