Perdana Menteri Anwar Ibrahim mesti menunjukkan keprihatinan peribadi dalam kes pegawai polis menembak mati tiga suspek jenayah samun di Durian Tunggal, Melaka, bulan lalu, kata Lim Guan Eng.
Penasihat DAP itu berkata keprihatinan itu boleh ditunjukkan dengan mengarahkan Menteri Dalam Negeri Saifudin Nasution memastikan siasatan yang bebas, adil, profesional dan telus oleh pihak berkuasa yang berkebolehan.
“Perdana menteri harus secara terbuka menangani kebimbangan serius orang awam ini dan mengeluarkan arahan sedemikian kepada Datuk Seri Saifudin bukan sahaja demi memastikan keadilan kepada keluarga si mati.
“Lebih penting lagi, perdana menteri perlu meyakinkan orang ramai dengan menunjukkan secara terbuka bahawa beliau mematuhi kedaulatan undang-undang dan menegaskan keperluan bahawa mereka yang berkuasa tidak menyalahgunakan kuasa,” katanya.
Semalam, keluarga tiga lelaki yang ditembak mati oleh polis di Durian Tunggal, Melaka pada 24 Nov menolak dakwaan bahawa mangsa bertindak ganas dengan menyerang pasukan keselamatan.

Isteri salah seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Jayashree mendedahkan rakaman perbualannya dengan suami ketika kejadian, yang tidak menggambarkan mangsa mengancam polis seperti didakwa.
Jayashree isteri kepada G Logeswaran, 29, yang ditembak mati oleh polis mendedahkan dalam rakaman itu kesemua mereka memberi kerjasama baik kepada pihak polis ketika ditahan.
Dalam kenyataan hari ini, Lim berkata terma rujukan bagi siasatan hendaklah merungkai sama ada polis yang terlibat menembak mati ketiga-tiga lelaki itu dengan kejam, sama ada si mati terlibat dalam kegiatan jenayah.
Selain itu, katanya, ia juga harus menentukan jenis tindakan yang akan diambil terhadap pegawai polis tersebut jika bersalah atas kesalahan membunuh atau salah laku jenayah.
“Tidak dapat dinafikan bahawa rakaman audio yang mengejutkan berhubung detik-detik terakhir oleh isteri salah seorang si mati sebelum, semasa dan selepas ketiga-tiga lelaki itu ditembak mati telah sangat mengganggu, malah mungkin mencemaskan orang ramai.
“Jika saya telah menerima begitu banyak mesej, saya pasti perdana menteri telah menerima lebih banyak lagi,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan tiga individu didakwa penjenayah samun paling dikehendaki ditembak mati selepas menyerang anggota polis ketika cuba ditahan dalam operasi awal pagi di sebuah ladang sawit di Durian Tunggal.
Ketua Polis Melaka Dzulkhairi Mukhtar berkata, ketiga-tiga suspek ditembak mati oleh sepasukan polis selepas menetak seorang koperal yang cuba menahan mereka dengan parang.
