Seorang pemimpin kanan PAS hari ini ‘menyambut’ rasa tidak senang MCA kepada parti itu dengan mengulangi gesaan agar aspirasi Muafakat Nasional terus diperjuangkan dalam kalangan parti politik Melayu.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Annuar Musa, berkata sebarang perpecahan tidak akan membawa keuntungan, justeru dia sejak dulu mahu mempertahankan perpaduan terutama dalam kalangan parti politik Islam dan bumiputera.
Malangnya, kata bekas Setiausaha Agung BN itu lagi, dia dituduh sebagai tidak setia atau berlebih-lebihan seperti kaduk naik junjung.
Ketika ini, tambah Annuar, “parti teras terus berkecai” manakala pengaruh politik orang Islam serta Melayu dilihatnya kian lemah.
“Sebab itu saya terus berjuang membina kekuatan politik orang Melayu dan umat Islam.
“Kunci utamanya ialah muafakat dan perpaduan yang mesti dimulakan dengan perpaduan Melayu,” katanya dalam hantaran di media sosial malam tadi.
Di “Tanah Melayu” ini, kata Annuar, PAS, Umno dan Bersatu perlu bermuafakat seperti yang pernah berlaku dalam gagasan Muafakat Nasional dulu.
“Berilah apa nama jua pun. Saya ingin melihat kuasa politik umat Islam terbina melalui muafakat.
“Melayu yang bersatu adalah payung paling selamat untuk perpaduan semua kaum bangsa dan agama. Politik berteraskan perpaduan, muhibah dan toleransi berteraskan perpaduan Melayu,” katanya.
Islam suruh berbuat baik
Semalam semasa menyampaikan ucapan dasarnya, Presiden MCA, Wee Ka Siong, menegaskan parti itu mungkin memilih jalan sendiri jika BN kekal dengan sikap seperti sekarang – bekerjasama dengan PH – dalam PRU akan datang.
Kata Wee, BN tidak akan dapat berkembang dalam kerangka kerajaan perpaduan seperti yang ada pada hari ini.
Pun begitu, Wee – seorang daripada dua ahli parlimen MCA di Dewan Rakyat ketika ini – berpendapat menyertai PN bukanlah pilihan yang sesuai buat parti tersebut.
Alasannya: PN dianggotai PAS yang tidak dapat diterima majoriti masyarakat Cina ekoran keberadaan segelintir pemimpin PAS yang sering mengeluarkan kenyataan kontroversi bagi menyerlahkan konservatisme agama mereka.

Kenyataan yang dikeluarkan juga, kata Wee, sering menyinggung perasaan masyarakat bukan Islam.
Annuar berkata PAS sentiasa istiqamah mendukung cita-cita Muafakat Nasional dan pada masa sama Islam mengajar umatnya untuk bertolong-tolongan ke arah kebaikan.
“Islam menyuruh kita berbuat baik dan mencegah kebatilan. Kita hanya boleh memimpin jika kita tidak bercerai-berai.
“Saya tidak akan berputus asa. Saya mahu melihat penyatuan dan kesatuan yang berteraskan perpaduan Melayu. Islam memimpin hanya bila umatnya bersatu.
“Tiga payung bakal membentuk payung besar,” katanya tanpa memberi penjelasan lanjut.
