Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isteri Manisegaran kecewa polis tak bertindak walau AGC dah beri arahan

Isteri mendiang Manisegaran Mohan, S Rajeswari, berkata dia masih tidak menerima sebarang panggilan daripada pihak polis berhubung siasatan kematian suaminya di lokap Balai Polis Bandar Sunway pada Feb lalu.

Ini susulan arahan Jabatan Peguam Negara (AGC) kepada Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) Bukit Aman untuk melengkapkan laporan siasatan berkaitan kematian Manisegaran dalam masa terdekat.

"Saya diberitahu AGC mengarahkan polis siasat misteri kematian suami saya. Tapi sudah tujuh hari sudah berlalu. Saya masih tidak menerima sebarang panggilan daripada pihak polis," katanya kepada Malaysiakini.

Katanya, dia kecewa dengan sikap polis yang tidak bertanggungjawab walaupun menerima arahan pihak AGC untuk mengadakan siasatan dalam masa terdekat.

Sebelum ini, AGC mengarahkan pihak polis melengkapkan laporan siasatan bagi membolehkan kes tersebut dirujuk ke Mahkamah Koroner untuk mengenal pasti punca dan sebab kematian.

"Laporan penuh siasatan dijangka akan dirujuk kepada jabatan ini dalam masa terdekat," kata AGC dalam kenyataan pada 6 Disember lalu.

Malaysiakini telah menghubungi Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, M Kumar, untuk mendapatkan komen.

Manisegaran, seorang pemandu lori berusia 41 tahun, didakwa meninggal dunia dalam keadaan mencurigakan selepas ditahan di Balai Polis Bandar Sunway, Petaling Jaya, awal tahun ini.

Menurut Rajeswari, suaminya ditahan atas sebab yang tidak didedahkan.

Pada awalnya, Rajeswari yang hadir ke balai polis dilarang memasuki premis berkenaan, dengan pegawai polis bertegas memintanya menunggu di luar.

Tidak lama kemudian, Rajeswari melihat sebuah ambulans tiba, membawa suaminya masuk ke dalam kenderaan tersebut menggunakan pengusung.

Dia turut menyatakan bahawa pegawai polis menolak permintaannya untuk menaiki ambulans.

Hampir sejam kemudian, seorang pegawai memaklumkan bahawa suaminya telah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMMC). Rajeswari kemudian dimaklumkan bahawa suaminya telah meninggal dunia.

Rajeswari juga mendakwa bahawa doktor yang melakukan bedah siasat ke atas suaminya memberi sebab yang bercanggah, menyebabkan dia enggan menandatangani sebarang dokumen kerana tidak berpuas hati.

Pada 4 Dis, Menteri Digital, Gobind Singh Deo, menyeru AGC menjelaskan dakwaan bahawa pihak berkuasa gagal menyiasat kematian Manisegaran, sembilan bulan selepas insiden berlaku.

Gobind menegaskan bahawa kematian dalam tahanan mesti disiasat seperti termaktub di bawah Seksyen 334 Kanun Tatacara Jenayah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS