Polis telah mengambil keterangan isteri kepada pemandu lori, Manisegaran Mohan, yang meninggal dunia ketika dalam tahanan di Balai Polis Bandar Sunway, sembilan bulan yang lalu.
Perkara itu dimaklumkan isteri mendiang, S Rajeswari kepada Malaysiakini.
Rajeswari berkata dia menerima panggilan telefon sekitar jam dua petang semalam daripada pihak yang memperkenalkan diri sebagai pegawai dari Bukit Aman.
"Pegawai berkenaan daripada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) kemudian tiba ke tempat kerja saya kira-kira jam lima petang. Proses mengambil keterangan berlangsung sekitar 15 minit.
"Selepas ambil keterangan, dia beritahu saya laporan siasatan kematian suami saya sudah pun dihantar kepada Pejabat Peguam Negara (AGC)," katanya.
Pada hari yang sama, Menteri Digital Gobind Singh Deo mengkritik kelambatan siasatan kes kematian Manisegaran, yang menurutnya sesuatu yang “tidak boleh diterima.
Gobind berkata kelambatan itu menunjukkan perlunya reformasi terhadap prosedur untuk kes seumpama itu, dan dia menyatakan hasrat untuk bertemu dengan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail untuk membincangkannya.

Pada 4 Disember lalu, Gobind juga menyeru AGC menjelaskan dakwaan bahawa pihak berkuasa gagal menyiasat kematian Manisegaran, sembilan bulan selepas insiden berlaku.
Gesaan itu sehari selepas Malaysiakini melaporkan Manisegaran, 41, didakwa meninggal dunia dalam keadaan mencurigakan selepas ditahan di Balai Polis Bandar Sunway awal tahun ini.
Rajeswari sebelum ini mendakwa apabila dibenarkan melihat mayat suaminya, dia nampak kecederaan pada dada mendiang, dua batang gigi patah, serta kesan darah di bahagian mata.
Dia juga mendakwa laporan bedah siasat mengandungi penjelasan yang bercanggah, termasuk kemungkinan serangan jantung, panau, pengambilan dadah, serta cecair di paru-paru.
Bagaimanapun, menurut Rajeswari, sijil kematian suaminya hanya mencatatkan punca kematian sebagai "pending further investigation" atau menunggu siasatan lanjut.
Selepas menunggu selama sembilan bulan tanpa sebarang penjelasan jelas, Rajeswari merayu agar Saifuddin campur tangan bagi mengetahui apa yang sebenarnya berlaku kepada suaminya.
