Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tanpa ayat manis atau analisis akademik–rombakan kabinet terbaru ini adalah kabinet bendera putih, kabinet yang menyerah jiwa dan raga demi mengekalkan kedudukan seorang perdana menteri. 

Tidak pernah berlaku dalam sejarah sesebuah bangsa, bangsa itu kalah dengan menyerah secara sukarela oleh seorang pemimpin yang dayus. Bercakap besar, tetapi rupanya tikus. 

Ini bukan rombakan pentadbiran. Ini penyerahan kuasa secara terbuka. Persoalan sebenar bukan siapa yang dilantik, tetapi siapa yang memberi arahan dan siapa yang tunduk.

Fakta asasnya mudah, DAP didakwa memberi tekanan, dan kabinet berubah. Tiada kebakaran, tiada bencana nasional, tiada krisis mendesak. Yang ada cuma ancaman politik, dan ancaman itu terus dibayar dengan kementerian strategik. 

Kementerian Wilayah Persekutuan, yang mengawal ibu kota Kuala Lumpur dan Putrajaya, jatuh dengan mudah seperti jatuhnya Sultan Melaka suatu ketika dahulu. Pulau Pinang sudah lama jatuh. 

Gabungan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kementerian Kerajaan Tempatan, yang menguasai bandar-bandar dan majlis daerah, kini tersungkur. Menteri Wilayah Persekutuan, Zaliha Mustafa, digugurkan, yang dilihat sebagai simbol penyerahan kalah. Menteri agama Naim Mokhtar, pula “ditarik tauliah” tanpa kad merah. 

Sebaliknya, mereka yang memiliki “kad merah” dikekalkan walaupun prestasi di tahap longkang dan sarat dengan kontroversi. Tahniah kepada menteri pendidikan, menteri pertanian, dan menteri pelancongan. Anda bertiga memang hebat luar biasa.

Pertanyaan tanpa berselindung, sejak bila tekanan menjadi manual rasmi pembentukan kabinet negara? Jika jawapannya “tidak”, maka perdana menteri wajib menjelaskan mengapa setiap kali DAP meninggikan suara, kerajaan segera tunduk dan menyusun kuasa mengikut nafsu DAP.

Lebih memalukan, Umno parti yang kononnya pejuang Melayu, membisu seperti penonton. Kementerian yang mengawal ekonomi rakyat bawahan, perumahan, wilayah dan usahawan Melayu berpindah tangan, tetapi Umno memilih untuk senyap. 

Dalam politik, diam bukan kebijaksanaan. Diam ialah persetujuan pengecut. Timbalan presiden Umno yang berkelulusan dalam bidang akauntan, bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Melayu pertama menerajui Mercedes-Benz dan bekas menteri besar, ditugaskan sebagai menteri luar. 

Menteri untuk berdepan isu Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) pula diserahkan kepada naib presiden Umno.

Jangan menipu rakyat dengan alasan “strategi”. Apabila presiden Umno diam dalam isu sebesar ini, mesejnya jelas, jawatan lebih penting daripada maruah, kuasa lebih bernilai daripada prinsip. 

Nakhoda Umno

Nakhoda Umno hari ini bukan lagi panglima perang atau benteng bangsa, tetapi sekadar tangga untuk orang lain menjajah bangsa sendiri dengan mudah.

Apabila sebuah parti memiliki hak veto secara senyap terhadap kabinet, perdana menteri tidak lagi memimpin. Dia cuma mengurus tekanan. Mandat rakyat tinggal hiasan, sementara tekanan menjadi kompas. Ini bukan kepimpinan. Ini pentadbiran dayus, bukan kehebatan yang ditonjolkan melalui retorik siang dan malam.

Hari ini kabinet berubah. Esok dasar pula mungkin berubah kerana tekanan. Lusa, kepentingan nasional dikompromi atas nama “kestabilan”. Negara yang ditadbir dengan rasa takut akan sentiasa menggadaikan masa depan untuk menyelamatkan hari ini.

Ingatan buat PMX dan presiden Umno, orang Melayu tidak bodoh. Mereka melihat, menyimpan dan mengingati. Kesabaran bukan keampunan. Sejarah pilihan raya tidak ditulis oleh sidang media, tetapi oleh ingatan pengundi yang pernah dikhianati.

Sejarah negara ini kejam terhadap pemimpin yang mengekalkan kuasa dengan menjual prinsip. Mereka mungkin kekal seketika, tetapi akhirnya akan kehilangan kedua-duanya, kuasa dan maruah. Ini bukan tekanan. Ini rekod sejarah yang berulang.

Kepada orang Melayu dalam Umno dan PH, keluar daripada kepimpinan yang menipu bukan pengkhianatan, tetapi pembetulan. Yang khianat ialah mereka yang menjadikan kesetiaan anda sebagai perisai untuk menyelamatkan kerusi sendiri. 

Tiada soalan dari parti mana anda datang, tetapi berapa lama lagi anda sanggup ditipu atas nama disiplin dan kesetiaan palsu. Masih ada parti lain. Pintu terbuka luas, bukan untuk pelarian politik, tetapi untuk orang Melayu yang sedar, berani dan enggan terus diperalat. 

Anda tidak diminta membuang prinsip lama, sebaliknya mengambil semula prinsip yang telah dicuri oleh pemimpin anda sendiri.

PMX tunduk kepada agenda ART Donald Trump sama ada kerana mengejar glamor, atau kerana memang mengikut Amerika. Dalam masa yang sama, PMX tunduk kepada DAP demi mengekalkan kuasa yang parti sendiri tidak memiliki majoriti. Inilah demokrasi terpimpin yang mempersendakan rakyat. Tunggu, sejarah akan berulang.


IBRAHIM ALI adalah presiden parti Putra.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS