Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kemelut PN tak jejas misi rampas Pahang - PAS 

Kemelut dalaman Perikatan Nasional (PN) ketika ini tidak menjejaskan fokus utama PAS Pahang dalam misi untuk menerajui negeri ini dalam PRU akan datang.

Dewan Pemuda PAS Pahang juga menegaskan pendekatan bekerja dan bergerak bersama rakyat tetap diteruskan seperti biasa.

Ketuanya, Zulfadhli Zakariah berkata, Pemuda PAS Pahang juga kekal berdiri teguh dengan rakan komponen dalam PN negeri.

"Hubungan antara komponen PN Pahang adalah utuh, bersatu dan berwibawa dengan berlandaskan muafakat politik yang matang.

"Hala tuju kita juga jelas iaitu untuk 'Teraju Pahang' dan ini adalah kekuatan utama gabungan kami di peringkat negeri dalam membina keyakinan rakyat.

"Tambahan pula, rakyat Pahang memerlukan sebuah alternatif kepimpinan negeri yang stabil, berintegriti dan berkeupayaan," katanya menerusi kenyataan di Kuantan, hari ini.

Zulfadhli Zakariah

Mengulas mengenai situasi semasa PN, dia menjelaskan, Pemuda PAS Pahang berpegang kepada prinsip, dasar dan ketetapan pimpinan Pusat dalam berdepan dinamika politik semasa.

Sambil menekankan kepada disiplin terhadap keputusan dibuat, Zulfadhli menegaskan, perkara itu adalah asas penting dalam menjaga kestabilan dan kewibawaan gabungan PN.

"Kita perlu memberi keyakinan kepada rakyat bahawa PN adalah satu pasukan yang tersusun dan bertanggungjawab.

"Peranan Pemuda PAS sebagai ejen perubahan akan diperhebatkan melalui pendekatan turun padang mendekati anak muda, belia profesional dan warga peneroka Felda", jelasnya.

Dia turut menambah, Pemuda PAS Pahang akan meneruskan komitmen mereka dalam menggerakkan agenda 'penyatuan ummah' sebagai teras kesatuan Islam dan Melayu demi mewujudkan kestabilan di negeri ini.

“Kami yakin dengan kesatuan yang kukuh, kepimpinan berwibawa serta pegangan prinsip yang jelas - selaras dengan pimpinan pusat - misi 'Teraju Pahang' mampu direalisasikan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya II PAS Pahang, Hassanuddin berkata, keputusan Adun daripada parti itu tidak menyertai kerajaan Perlis membuktikan sikap tegas PAS dalam menjaga integriti dan prinsip perjuangan.

Menurutnya, PAS sanggup berkorban kedudukan dan jawatan dalam pentadbiran demi mempertahankan kesatuan dan keutuhan PN.

"Sikap tidak tamak kuasa ini amat jarang dalam politik negara kita dan perlu dipuji sebagai contoh kepimpinan berintegriti," katanya melalui kenyataan di Facebook rasmi PAS Pahang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS