Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rasuah, parti yeye dalam tentera: PAS gesa siasat tanpa kompromi
Diterbitkan:  Jan 9, 2026 1:39 PM
Dikemaskini: 5:39 AM

Pemuda PAS menggesa supaya siasatan menyeluruh tanpa kompromi dijalankan terhadap isu rasuah dalam tender perolehan tentera serta skandal “parti yeye”, yang disifatkan sebagai ancaman serius kepada keselamatan negara.

Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden, berkata isu itu bukan sahaja menyentuh kelemahan tadbir urus dalam Tentera Darat Malaysia (TDM), malah melibatkan aspek kritikal pertahanan negara, termasuk perolehan aset, kelengkapan serta perkhidmatan yang memberi kesan langsung terhadap tahap kesiapsiagaan angkatan tentera.

"Apabila kontrak dianugerahkan berasaskan sogokan dan bukannya merit serta keperluan sebenar, TDM berisiko memperoleh peralatan yang tidak memenuhi piawaian yang ditetapkan.

"Keadaan ini bukan sahaja mengakibatkan pembaziran wang rakyat, malah turut membahayakan nyawa anggota semasa latihan mahupun operasi sebenar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi Keselamatan (PSSC) memaklumkan bahawa jawatankuasa itu akan memanggil pegawai Kementerian Pertahanan dan ATM bagi memberi penjelasan berhubung skandal-skanda yang melanda angkatan tentera.

Ia susulan penahanan bekas panglima tentera darat, Hafizuddeain Jantan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berikutan dakwaan rasuah dan laporan tular berkaitan aktiviti tidak bermoral dalam pangkalan tentera.

Mengenai aktiviti tidak bermoral melibatkan penganjuran parti liar dan minuman keras dalam kem tentera, Afnan berkata perkara itu bukan sahaja mencemarkan imej ATM, malah menunjukkan warisan asing yang tidak selari dengan nilai tempatan masih diamalkan dalam kalangan anggota tentera.

Terap penghayatan agama dalam tentera

Justeru katanya, Pemuda PAS menegaskan penghayatan agama Islam perlu diterapkan secara menyeluruh dalam pasukan keselamatan.

"Ketiadaan penghayatan agama yang sebenar bukan sahaja merosakkan akhlak dan sahsiah anggota, malah berpotensi melemahkan disiplin serta keselamatan negara secara keseluruhan," tegasnya.

Semalam, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, turut menyuarakan pandangan yang sama dengan menegaskan bahawa isu moral tidak boleh dianggap urusan peribadi sekiranya ia melibatkan keselamatan negara.

Takiyuddin berkata keselamatan negara boleh terjejas melalui penganjuran acara sebegini yang mungkin melibatkan penyusupan “perisik asing”.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu, yang juga ahli PSSC, menyeru supaya siasatan dijalankan dengan tegasn dan profesional.

Sementara itu Afnan mendesak agar siasatan terhadap isu rasuah perolehan tender dan aktiviti tidak bermoral ini dijalankan tanpa sebarang campur tangan pihak luar mahupun dalam.

"Kita tidak seharusnya berkompromi dengan salah laku yang berlaku dan tindakan tegas wajar diambil sekiranya didapati bersalah,” katanya.

Bulan lepas, Ketua Bersatu Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin, mendakwa hasil semakan dokumen forensik yang diterimanya tanpa nama menunjukkan kemasukan wang setiap bulan berjumlah puluhan ribu ringgit ke akaun seorang pegawai kanan tentera dan ahli keluarganya.

Aduan itu menyebabkan pelantikan Hafizuddeain sebagai Panglima Angkatan Tentera ditangguhkan, walaupun pelantikan itu telah diputuskan dalam mesyuarat Majlis Angkatan Tentera dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Pada 27 Disember, Hafizuddeain diarahkan bercuti untuk membolehkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 17(a) Akta MACC 2009. Enam akaun bank milinya dan ahli keluarganya dibekukan pada 29 Dis.

Hafizuddeain dan dua isterinya ditahan selepas hadir ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya. Dia diperintahkan ditahanreman selama tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Putrajaya bagi membantu siasatan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS