Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ugutan bunuh, keganasan - NGO pro-LGBTQ batal ‘Glamping with Pride’
Diterbitkan:  Jan 13, 2026 2:58 PM
Dikemaskini: 9:57 AM

NGO pro-LGBTQ, Jejaka membatalkan program “Glamping With Pride”, yang pada mulanya dijadualkan pada hujung minggu ini.

Dalam kenyataan hari ini, Jejaka berkata program itu dibatalkan atas faktor ancaman keselamatan, termasuk ugutan bunuh dan keganasan melalui media sosial.

“Sejak kenyataan kami pada 9 Januari 2026, keadaan telah berubah secara drastik.

“Pemilik lokasi telah membatalkan tempahan atas faktor keselamatan dan pihak kami turut menerima ancaman keselamatan, termasuklah ugutan bunuh dan keganasan melalui media sosial. 

“Ancaman-ancaman ini telah didokumenkan dan akan dirujukkan kepada pihak berkuasa melalui laporan polis,” kata Jejaka.

NGO itu menegaskan program itu bukan dibatalkan bukan kerana ia menyalahi undang-undang, tetapi kerana keadaan semasa yang memburuk sehingga “menjadikan nyawa sebagai taruhan keselamatan”.

“Sebelum isu ini disensasikan secara meluas, hanya 14 peserta sahaja yang berdaftar. Namun, dalam tempoh beberapa hari sahaja, sekitar 50 orang telah menyatakan minat untuk menyertai program pendidikan kesihatan Ini.

“Akibat ketakutan dan momokan yang dicetuskan, 50 individu tersebut kini kehilangan ruang selamat untuk berkumpul dan belajar tentang kesihatan di ruang alam semula jadi Malaysia. Ini adalah kesan sebenar daripada stigma dan kepanikan moral.

“Kami juga kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa, institusi dan tokoh awam yang gagal menenangkan keadaan. Mereka gagal menjalankan tugas mereka untuk mempertahankan golongan minoriti daripada ancaman, malah lebih memburukkan lagi situasi ini. 

“Ancaman keganasan terhadap mana-mana pihak bukanlah penyelesaian bagi apa-apa perbezaan pandangan,” katanya.

Jejaka berkata golongan LGBT juga merupakan rakyat Malaysia yang berhak hidup dengan “selamat, bermaruah dan tanpa ketakutan” dengan jaminan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Semalam, Bernama melaporkan bahawa Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menitahkan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengambil tindakan tegas terhadap sebarang aktiviti tidak bermoral yang membabitkan budaya songsang di negeri itu.

Titah itu disampaikan kepada Pengerusi Mais Salehuddin Saidin dan Mufti SelangorAnhar Opir selepas kedua-duanya diperkenan menghadap baginda di Istana Bukit Kayangan, di Shah Alam.

Pada 11 Januari lalu, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan turut menasihati penganjur agar membatalkan program itu.

Sehari sebelumnya, polis mengesahkan siasatan terhadap acara itu telah dibuka selepas lima laporan diterima.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS