Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tak larat nak pujuk, Zahid seru MCA dan MIC usah merajuk lagi

PAU 2025 | Ahmad Zahid Hamidi dilihat cuba menenangkan parti komponen BN iaitu MCA dan MIC dengan menyeru kedua-dua parti agar berhenti “merajuk” dan kembali memperkukuh gabungan yang telah dibentuk selama lebih lima dekad.

Dalam ucapan dasarnya, Presiden Umno itu berkata hubungan “adik-beradik” sememangnya tidak dapat dielakkan daripada melalui saat-saat krisis seperti lidah yang tergigit.

Pun begitu, katanya, mereka tetap perlu kembali bersama pada akhirnya.

"Ada yang bergaduh, nak masuk (gabungan lain)... sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula adik-beradik.

"Jangan macam-macam, kita dakaplah sesama sendiri, merajuk sekejap tapi janganlah merajuk lagi.

"Kita pun tak larat nak pujuk. Balik sini, duduk di rumah besar ini. Marilah kita bersama, kita rakyat Malaysia, kita sahabat dalam BN,” katanya disambut sorakan daripada 6,412 perwakilan Umno di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN turut mengakui, meskipun keputusan Umno untuk menyertai kerajaan perpaduan dibuat demi kepentingan negara, tidak dapat dinafikan ia mewujudkan ketegangan dalam BN.

“Kehadiran kita dalam kerajaan perpaduan, walaupun demi kepentingan negara, telah menyebabkan keretakan dalam hubungan rapat antara parti-parti komponen BN, tetapi alhamdulillah, semuanya kini berada di hadapan kita,” katanya.

Komitmen kepada BN

Ucapan berkenaan disebut di hadapan Presiden MCA, Wee Ka Siong; dan Timbalan Presiden MIC, M Saravanan, yang turut hadir di dalam dewan tersebut.

MCA dan MIC sudah beberapa kali menyatakan rasa senang mereka kepada kepimpinan Umno serta kerajaan melalui pelbagai isu.

Lebih daripada itu kedua-dua parti juga secara terbuka memberi bayangan yang mereka tidak menolak kemungkinan untuk meninggalkan BN disebabkan isu yang dibangkitkan.

Malah ada MIC negeri meluluskan usul untuk keluar dari BN.

Bagaimanapun Perhimpunan Agung Tahunan MIC pada 2025 menangguhkan keputusan mereka sama ada kekal dalam gabungan tersebut atau sebaliknya.

MCA pula pada 7 Dis tahun lalu memberi amaran kepada BN agar tidak meneruskan kerjasama dengan PH dalam kerajaan dan kegagalan berbuat demikian akan mengundang tindak balas daripada parti terbabit.

Malah Wee berkata, MCA "ada jalannya sendiri" jika kerjasama tersebut diteruskan. Pada masa sama Ahli Parlimen Ayer Hitam itu menegaskan PN bukanlah pilihan mereka ketika ini kerana keberadaan PAS di dalamnya.

Keresahan itu dibuat ketika tiada mana-mana pemimpin parti terbabit dilantik menyertai kabinet kerajaan perpaduan.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, ada pihak yang memilih untuk memutuskan hubungan yang sekian lama menjadi tonggak kestabilan BN, malah ada yang merajuk dan mahu pergi ke pihak lain.

Sementara itu ketika ditemui wartawan selepas ucapan Ahmad Zahid, Wee memperbaharui komitmen MCA terhadap BN dengan menyatakan: “Setakat MCA, kami adalah parti pengasas BN. Itu masih kekal," katanya.

Saravanan pula yang enggan memberikan sebarang ulasan.

Sebelum ini dia dipetik sebagai berkata, keputusan mengenai hala tuju politik MIC hanya akan dibuat selepas Thaipusam pada 1 Feb depan.


Laporan oleh Alyaa Alhadjri, Haspaizi Zin, dan Shakira Buang


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS