Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jangan jadi lebih Bossku dari Bossku, Zahid tak lupa Najib - perwakilan

PAU | Seorang perwakilan Umno dalam perbahasan ucapan dasar presiden hari ini tampil mempertahankan presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi yang dituduh melupakan nasib bekas presiden Najib Razak, yang masih dipenjarakan.

Kepada pengkritik Zahid, perwakilan Umno Selangor Hasnal Rezua Merican Habib Merican menyampaikan peringatan yang tegas.

“Yang menuduh presiden sudah dapat kerusi empuk, sudah lupa kawan, sudah lupa bagaimana untuk menyelamatkan Bossku, mungkin lebih baik Bossku merengkok di penjara (biar) masa depan politik kita lebih cerah. Tolonglah bertaubat.

"Jangan jadi lebih Bossku dari Bossku,” katanya merujuk Najib yang digelar Bossku dalam kalangan penyokong setianya.

Hasnal mengulangi bahawa Najib sendiri telah meletakkan kepercayaan terhadap Zahid, yang awal hari ini turut mengulangi rayuan Umno kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar supaya Seri Paduka Baginda mengurniakan ihsan kepada Najib.

Ketua Umno Selayang itu seterusnya memetik kata-kata Najib kepadanya ketika dia menjadi antara segelintir individu yang dibenarkan melawat, selain peguam bekas perdana menteri itu.

"Saya nak cerita, antara orang yang dapat masuk jumpa Najib di penjara, saya adalah salah seorang yang dapat masuk.

"Bila saya berjumpa dengan Datuk Seri Najib, kita salam-salam, tukar pleasantries dua minit, selepas itu Najib kata dengan saya: ‘Saya tahu Datuk Seri Zahid, Megat Zulkarnain dan rakan-rakan barisan pimpinan Umno sedang bekerja sangat keras untuk mendapatkan keadilan’. Itu kata Datuk Seri Najib pada saya,” jelas Hasnal, yang juga seorang peguam.

“Jadi kita letaklah kepercayaan pada presiden. Ini bila tak dapat pengampunan...bila keluar keputusan mahkamah, semua salahkan presiden.

"Orang Umno pun ada, jangan kata geng sana. Dalam Dewan ini pun ada,” kata Hasnal lagi.

Najib kini sedang menjalani baki hukuman penjara bagi sabitan rasuah pada 2020 yang berkaitan dengan kes SRC International.

Dia juga telah dijatuhi hukuman penjara tambahan selama 15 tahun bagi pertuduhan rasuah berkaitan 1MDB.

Selain Hasnal, perwakilan Kedah Noran Zamini Jamaluddin turut menyuarakan harapan sama agar Najib dibebaskan melalui ihsan Yang di-Pertuan Agong susulan rayuan yang dibuat oleh Zahid.

Dalam ucapan dasar presiden Umno sebelum itu, Zahid menafikan dakwaan dia menyelaraskan parti dengan kerajaan Madani demi menyelamatkan dirinya sendiri sambil meminggirkan Najib.

Minggu lalu, Zahid dilepas dan dibebaskan sepenuhnya daripada 47 pertuduhan rasuah melibatkan Yayasan Akalbudi. Keputusan tiada tindakan lanjut (NFA) oleh Jabatan Peguam Negara dibuat beberapa hari selepas dia menolak desakan supaya Umno menyertai pembangkang.

Anak Najib: Rakan tak pernah tinggalkan Bosku

Sebelum ini, Zahid diberikan pelepasan tanpa dibebaskan (DNAA) dalam kes berkenaan, 10 bulan selepas dilantik sebagai timbalan perdana menteri dalam kabinet Madani.

Ketika ditemui pemberita kemudian, anak Najib, Nazifuddin Najib, menyatakan kepimpinan Umno, ahli parti serta rakan-rakan terus berusaha untuk mendapatkan “keadilan” dan kebebasan untuk bapanya.

“Sehingga hari ini, parti, rakan-rakan Bosku serta pemimpin negara dan kerajaan tidak pernah meninggalkan Bosku.

"Jadi usaha itu perlu diteruskan.

"Kita sudah buat sehabis baik dan kita tahu harapan itu terletak pada kuasa Tuanku Agong. Kita berharap dengan kebijaksanaan Tuanku Agong, baginda dapat membuat keputusan untuk membantu dan memberi kesan yang baik.,” katanya.

“Mengenai apa yang akan berlaku seterusnya, tiada petisyen baru.

“Ia akan mengikut proses biasa. Apa yang berlaku selepas ini bergantung kepada keputusan Yang di-Pertuan Agong,” kata Nazifuddin.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS