Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PAU 2025 | Umno belum membuat sebarang keputusan untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya akan datang, kata setiausaha agungnya Asyraf Wajdi Dusuki.

"Kita tidak ada apa-apa keputusan berkenaan perkara itu. Kalau faham presiden sebut yang paling penting mengukuhkan kerajaan yang sedia ada bagi memastikan kestabilan kita tercapai dan kemakmuran rakyat kita pertahankan akan.

"Kalau kita tengok indikator-indikator ekonomi, pelaburan dan keyakinan pelabur semunya menunjukkan tanda-tanda yang positif. Apa asas ini semua? Asas ini semua adalah kestabilan politk.

"Umno sebagai parti yang mempunyai pengalaman panjang dalam pentadbiran sudah tentu kita memikirkan soal tanggungjawab kita kepada rakyat," katanya pada sidang media selepas tinjauan ke laman media sempena PAU 2025 di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam Perwakilan Umno Selangor Hasnal Rezwa Merican Hasnul Merican membangkitkan betapa Umno sudah berhak menentukan bagaimana parti itu harus menghadapi PRU ke-16.

Ini kerana katanya, dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini Umno telah berjaya memainkan peranannya dalam kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

"Kerana itu, usul yang dibawa hari ini menggariskan bahawa selepas tiga tahun, dari detik ini kehadapan, Umno berhak mengadakan apa jua kerjasama, jalinan politik, perbincangan, rundingan dengan mana-mana pihak bagi menentukan bagaimana kita mahu menghadapi PRU16," katanya.

Asyraf berkata, jika Umno membuat keputusan politik yang tidak memikirkan soal rakyat mereka pasti akan dihukum kerana mencetuskan suasana yang tidak selesa.

"Ketidakstabilan politik yang akan memberi kesan kepada ekonomi, pelabur tak datang dan akhirnya rakyat yang menderita. Jadi, itu sebab saya kira kalau kita lihat perbahasan-perbahasan yang ada ketika ini pun, pemimpin-pemimpin Umno dalam konteks ini amat rasional, ia bukan bersifat emosi," katanya.

Permohonan sertai Umno

Sementara itu ditanya mengenai sekiranya terdapat bekas pemimpin Umno yang akan kembali kepada parti itu, Asyraf berkata pihaknya menerima banyak permohonan.

"Ramai. Sebagai setiausaha agung saya boleh bagitahu bahawa memang kita menerima banyak permohonan.

"Kita tunggulah ucapan penggulungan kerana apabila presiden sebut dalam ucapan dasarnya, berkenaan dengan 'rumah besar' dan penubuhan jawatankuasa rumah besar dan jawatankuasa penyatuan rumah besar.

"Saya rasa yang paling penting apakah resolusi yang kita capai daripada perhimpunan agung Umno kali ini," jelasnya.

Dia turut mengesahkan bekas ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin bagaimanapun belum memohon untuk kembali menjadi ahli Umno selepas dipecat dan muncul di persidangan itu Khamis lalu.

Kemunculan bekas menteri dan ketua pemuda Umno itu menarik perhatian ramai kerana dia memang disebut-sebut bakal menyertai parti berkenaan.

Dalam perkembangan berasingan Asyraf menegaskan keputusan Umno untuk menangguhkan pemilihan dibuat supaya pengukuhan dalaman parti diberi keutamaan.

Jelasnya, selepas pindaan perlembagaan dalam PAU tiga tahun lalu perkara itu telah selesai dengan keputusan yang dibuat oleh perwakilan dan ahli parti.

"Jadi apabila kita kata selepas pilihan raya, itulah yang diputuskan oleh semua perwakilan dan ahlu-ahli dalam konteks umno ini. Fokus kita pilihan raya dulu, bila dah pilihan raya Melaka, Johor yang kemungkinan berlaku tahun ini, selepas itu pilihan raya umum.

"Kalau kita sibuk pula dengan pemilihan (jadi) macam-macam cerita, sekarang ini dah la Umno memerlukan kekuatan dalaman yang solid, jadi saya kira alhamdulillah apa yang diputuskan oleh perwakilan Umno dalam PAU tiga tahun lepas itu ada kebijaksanaan," jelasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS