Bekas wartawan Free Malaysia Today, Rex Tan dibebaskan daripada tahanan polis petang ini.
Ketika dihubungi, peguam Tan, Rajsurian Pillai, mengesahkan pembebasan Tan susulan penangkapannya pada tengah malam semalam.
“Polis telah meminta reman selama empat hari, tetapi saya meminta agar reman itu tidak diberikan.
“Majistret memberikan reman satu hari yang berakhir hari ini,” kata Rajsurian kepada Malaysiakini.
Penahanan Tan dikaitkan dengan siasatan hasutan berdasarkan soalan yang diajukannya semasa forum awam berkaitan Gaza di Kuala Lumpur yang menampilkan ahli politik UK George Galloway, yang dikatakan membawa unsur perkauman.
Tan, 31, telah ditangkap di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan dan Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan yang berkaitan dengan membuat kenyataan dengan niat untuk menyebabkan kegentaran atau ketakutan.
Dia juga sedang disiasat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia.
Rajsurian berkata dia juga telah membangkitkan persoalan mengenai siasatan Akta Komunikasi dan Multimedia, kerana Tan tidak menyiarkan kenyataannya yang didakwa menghasut dalam talian; sebaliknya, individu lain telah berbuat demikian berdasarkan rakaman video dari forum tersebut.
Secara berasingan, Bernama memetik Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail sebagai berkata bahawa walaupun dia menghormati kebebasan bersuara, ia perlu datang bersama tanggungjawab.
Wartawan itu buat liputan tentang bekas ahli Parlimen dari United Kingdom … kemudian dia buat perbandingan keadaan di Palestin yang rakyatnya ditekan oleh Israel … dia buat perbandingan layanan yang komuniti Cina terima di Malaysia.
"Jawapan daripada ahli Parlimen itu pun sangat jelas, maknanya perbandingan itu tidak tepat langsung sepanjang beliau mengenali Malaysia," katanya.
Saifuddin juga menyatakan bahawa syarikat media yang dianggotai bekas wartawan itu juga telah memohon maaf dan menyatakan bahawa ia tidak mencerminkan pendirian organisasi mereka.
