Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM: Baru tahu nama kena petik fail kes Epstein
Diterbitkan:  Feb 1, 2026 8:25 PM
Dikemaskini: 12:56 PM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjelaskan dia tidak terbabit dengan mana-mana pihak yang membincangkan namanya dalam kelompok terbaru fail yang dikeluarkan oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat berkaitan mendiang Jeffrey Epstein.

"Baru hari ini saya tahu ada pihak luar yang mahu bertemu dan siap ‘petik’ nama saya dalam emel melibatkan kes Epstein.

"Alhamdulillah, dah belasan tahun seperti yang disebut dalam emel, dan saya langsung tiada kaitan dengan mana-mana pihak yang berbalas email tu, terutama Epstein," katanya ringkas melalui hantaran di media sosial.

Nama Anwar tidak dikaitkan dengan sebarang dakwaan salah laku seksual atau lawatan ke pulau terkenal milik mendiang ahli kewangan itu. Sebaliknya, Anwar hanya disebut dalam konteks politik melalui emel.

DOJ bagaimanapun telah menyunting identiti pengirim emel tersebut.

Satu emel pada 2012 mencadangkan pertemuan antara Anwar dan seorang eksekutif JP Morgan bagi meneroka potensi manfaat masa depan.

Dalam emel itu, rakan kongsi Epstein menyifatkan kemungkinan Anwar menjadi perdana menteri sebagai “lombong emas” untuk bank dari Amerika Syarikat itu.

Pertukaran emel itu berlaku setahun sebelum PRU 2013, ketika Anwar hampir menjadi perdana menteri selepas Pakatan Rakyat memperoleh majoriti undi popular.

Berjuta-juta fail baru berkaitan mendiang pesalah seks, Jeffrey Epstein, telah didedahkan oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat, menjadikannya pelepasan dokumen terbesar setakat ini sejak undang-undang mewajibkan pendedahan awam berkuat kuasa tahun lalu.

Sebanyak kira-kira tiga juta halaman dokumen, 180,000 imej dan 2,000 rakaman video dimuat naik untuk akses umum pada Jumaat lalu.

Pendedahan itu dibuat enam minggu selepas Presiden AS, Donald Trump mengarahkan semua dokumen berkaitan Epstein didedahkan kepada orang ramai.

Fail berkenaan merangkumi butiran mengenai tempoh Epstein dipenjarakan, termasuk laporan psikologi, keadaan kematiannya dalam tahanan, serta rekod siasatan terhadap sekutunya, Ghislaine Maxwell, yang disabitkan kesalahan membantu Epstein memperdagangkan gadis bawah umur.

Turut terkandung ialah pertukaran emel antara Epstein dan beberapa individu berprofil tinggi, sebahagiannya bertarikh lebih sedekad lalu, yang menggambarkan jaringan hubungannya ketika berdepan masalah undang-undang.

Epstein pernah disabitkan kesalahan pada 2008 di Florida kerana mendapatkan perkhidmatan seks daripada seorang gadis berusia 14 tahun selepas mencapai perjanjian pengakuan bersalah yang kontroversi.

Dia ditemui mati di dalam penjara pada Ogos 2019 ketika menunggu perbicaraan kes pemerdagangan seks berskala besar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS