Timbalan setiausaha agung Perikatan Nasional (PN), Takiyuddin Hassan memaklumkan mesyuarat Majlis Tertinggi gabungan itu seterusnya dijangka diadakan bulan ini, tertakluk kepada pengesahan daripada keempat-empat presiden parti komponen.
Ahli parlimen Kota Bharu itu berkata surat jemputan telah dihantar pada Selasa dan sekurang-kurangnya seorang presiden parti komponen telah memberi maklum balas dengan mencadangkan tarikh selepas 19 Feb.
“Kita sedang menetapkan tarikh sekarang. Tarikh itu akan ditetapkan supaya keempat-empat presiden boleh hadir, tanpa pengecualian.
“Ketika ini, saya menunggu tarikh yang dipersetujui semua pihak. Kita berharap ia tidak melangkaui bulan ini. Itu perkembangan terkini,” kata Takiyuddin pada sidang media di parlimen hari ini.
Semalam, Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar menyatakan keyakinan kemelut kepimpinan PN boleh diselesaikan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi akan datang.
Sejak peletakan jawatan Muhyiddin sebagai pengerusi PN berkuat kuasa 1 Jan, persoalan mengenai penggantinya masih belum terjawab, dengan PAS menyatakan hasrat untuk mengisi jawatan itu tetapi belum menamakan calon.
Surat yang bocor antara Muhyiddin dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang turut mendedahkan perbezaan pandangan mengenai penyelesaian krisis tersebut, yang didakwa berpunca daripada mesyuarat pada 16 Jan antara kedua-dua pemimpin serta beberapa pemimpin tertinggi parti masing-masing.
