PAS mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada seluruh rakyat Malaysia sambil mengingatkan kepada suasana keharmonian dan kesederhanaan.
Gesaan itu dibuat dengan memetik ahli falsafah klasik China, Confucius bahawa “keharmonian adalah sesuatu yang mesti dialu-alukan”.
Selain itu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan turut memetik Lao Tzu mengenai bahaya sikap berlebih-lebihan.
“Dalam pada itu, Lao Tzu memberi amaran tentang sikap berlebih-lebihan dan melampau sebagai racun yang membawa kerosakan dan kemusnahan yang mesti dielakkan dengan berkata, apabila sesuatu mencecah titik ekstrem, maka langkah mundurnya pun telah bermula,” katanya.

Dalam kenyataan hari ini, Takiyuddin berkata, sambutan tersebut merupakan detik penting bagi memperkukuh semangat kekeluargaan dan persaudaraan dalam suasana penuh kesyukuran.
Dia turut menyeru rakyat supaya terus memperkuat perpaduan dan bekerjasama membina Malaysia yang makmur berdasarkan semangat saling menghormati.
"Dalam masyarakat kita yang pelbagai latar belakang, keharmonian bukanlah keseragaman, tetapi berdiri atas sikap saling menghormati dan memahami.
"Apabila kita menjunjung ketertiban, kesopanan dan keadilan, maka kita juga turut memperkukuh asas perpaduan dan keharmonian sesama kita," katanya.
Sambutan Adun bukan Cina di Melaka
Sementara itu, di pihak Umno, ketua Pemudanya Akmal Saleh - yang sering dilihat oleh ramai pihak dalam komuniti Cina sebagai mempunyai pendirian yang keras - bakal menganjurkan rumah terbuka Tahun Baru Cina pada 28 Februari.
Akmal berkata perjumpaan di SJK(C) Merlimau itu bertujuan menjunjung adat resam sambutan Tahun Baru Lunar dan terbuka kepada semua orang, tanpa mengira kaum.

Akmal adalah anggota Dewan Undangan Negeri Merlimau.
Dia dilaporkan sebagai satu-satunya Adun bukan Cina di negeri itu yang mengadakan acara sedemikian untuk Tahun Baru Cina.
Sebelum ini, Akmal menyangkal dakwaan bahawa dia menyimpan permusuhan terhadap komuniti Cina, sambil menjelaskan bahawa perselisihannya dengan DAP berpunca daripada perbezaan dasar, bukannya etnik.
“Apabila kita menentang DAP, kita menentang dasarnya.
“Ia tidak ada kena-mengena dengan komuniti Cina, malah ibu mentua saya adalah orang Cina," katanya.
