Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Suspek tembak kereta komander AKPS Bukit Kayu Hitam ditahan

PARLIMEN | Seorang suspek telah ditahan berkaitan insiden tembakan ke arah sebuah kenderaan yang dipandu oleh Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bukit Kayu Hitam, Nasaruddin Nasir, awal pagi semalam.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail bagaimanapun tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai suspek yang ditahan.

“Kita (polis) buat tangkapan dalam tempoh kurang 24 jam. Kini suspek sedang disoal siasat,” katanya semasa Waktu Pertanyaan Menteri (MQT), bagi menjawab soalan tambahan daripada Siti Zailah Ismail (PN-Rantau Panjang) di Dewan Rakyat hari ini.

Semalam, Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah berkata Nasaruddin sedang menghala ke masjid untuk sembahyang Subuh sebelum didatangi dua individu berpakaian serba hitam menaiki motosikal dengan topi keledar full-face.

“Seorang daripada suspek melepaskan dua tembakan yang terkena pintu di bahagian kanan belakang kenderaan dan pintu sebelah penumpang hadapan, namun tidak mendatangkan kecederaan kepada mangsa,” katanya.

Dia berkata polis tidak menolak kemungkinan insiden itu berpunca daripada rasa tidak puas hati mana-mana sindiket yang melakukan kesalahan di sempadan.

Hari ini, Saifuddin berkata tugas AKPS membawa berisiko tinggi bagi memastikan sempadan negara kekal selamat.

“Jika melibatkan kawalan sempadan, ia memang terdedah kepada pelbagai ancaman.

“Tujuannya adalah untuk memastikan pergerakan orang dan barangan kekal lancar, dan pada masa sama, tiada kompromi dalam soal keselamatan dan tiada ketirisan dalam kutipan hasil,” katanya.

Saifuddin juga menegaskan kerajaan komited untuk memperkukuh keselamatan di sempadan Malaysia dan memastikan keselamatan pasukan kawalan sempadan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS