mk-logo
Berita
SPRM mohon bantuan kesan 4 anak Daim Zainuddin
Diterbitkan:  Feb 27, 2026 3:46 PM
Dikemaskini: 8:15 AM

SPRM memohon bantuan orang ramai untuk mengesan empat anak bekas menteri kewangan Daim Zainuddin.

Dalam satu kenyataan hari ini, SPRM memaklumkan pihaknya sedang mencari Asnida, Wira Dani, Amir Zainuddin, dan Amin Zainuddin.

SPRM turut mendedahkan alamat terakhir mereka di Kuala Lumpur dan Selangor.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan komen peguam mereka.

Tindakan tegas SPRM

Pada 2024, SPRM melancarkan siasatan terhadap Daim dan isterinya, Na’imah Abdul Khalid, yang membawa kepada, antara lain, penyitaan Menara Ilham, sebuah bangunan komersial bernilai tinggi di Kuala Lumpur.

Ahli politik veteran itu, yang dikenali sebagai sekutu rapat bekas perdana menteri Mahathir Mohamad, meninggal dunia pada November 2024.

Susulan kematiannya, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Daim daripada pertuduhan gagal mengisytiharkan harta, ekoran permohonan oleh timbalan pendakwa raya Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Bagaimanapun, Na’imah menggesa pihak pendakwaan untuk meneruskan kes tersebut supaya pasukan pembelaan dapat membantu membersihkan nama arwah suaminya di mahkamah.

Na’imah sendiri didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 23 Jan 2024, kerana gagal mematuhi notis pengisytiharan harta, yang merangkumi Menara Ilham dan beberapa hartanah lain di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Dia didakwa bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009, yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM100,000.

Pada 29 Feb 2024, Na’imah memfailkan permohonan untuk merujuk persoalan undang-undang mengenai Seksyen 30(5), 36(2), dan 62 Akta SPRM 2009, serta Seksyen 32(3)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (Amla) 2001 ke Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun, pada 18 Feb tahun lalu, hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi menolak permohonan Na’imah atas alasan ia tidak mempunyai merit.

Hakim juga memutuskan bahawa tiada persoalan perlembagaan yang timbul untuk ditentukan.

Na’imah kemudian merujuk ke Mahkamah Tinggi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS