Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM minta bantuan kesan bekas pegawai Rafizi
Diterbitkan:  Mar 4, 2026 12:09 PM
Dikemaskini: 4:30 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan seorang bekas pembantu kepada menteri ekonomi sebelum ini Rafizi Ramli bagi membantu siasatan satu kes.

Badan antirasuah itu berkata mereka sedang menjejaki Chai Jin Shern, atau juga dikenali sebagai James Chai yang alamat terakhirnya di Shah Alam, Selangor.

Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai individu berkenaan diminta menghubungi pegawai penyiasat, Mohd Hafidz Bin Abd Halim di talian 017-5046503 atau emel kepada [email protected].

Kenyataan hari ini bagaimanapun tidak mendedahkan butiran lanjut siasatan.

Chai adalah salah seorang daripada beberapa bijak pandai yang dilantik Rafizi bagi membantunya.

Dia adalah graduan pusat pengajian tinggi terkemuka dunia Universiti Oxford dalam bidang undang-undang dan teknologi, yang juga seorang penulis.

Bulan lepas, Rafizi berkata akan menyaman kerajaan jika siasatan SPRM terhadap dakwaan salah laku terhadapnya tidak membawa kepada pertuduhan mahkamah.

Bekas timbalan presiden PKR itu merujuk kepada siasatan SPRM terhadap dakwaan bahawa dia terburu-buru melaksanakan perjanjian kerajaan bernilai RM1.1 bilion dengan gergasi semikonduktor British, Arm Holdings.

Rafizi menyifatkan siasatan itu sebagai satu bentuk gangguan susulan tuntutannya supaya Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki digantung tugas susulan dakwaan pemilihan saham melebihi had serta skandal “mafia korporat”.

[Berita penuh menyusul]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS