Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wartawan portal berita Tamil dibebaskan dengan jaminan polis

Wartawan portal berita Tamil Thinathanti, Kalidas Subramaniam, yang ditahan pihak polis berhubung dakwaan menceroboh sebuah kilang di Lunas, Kedah, dibebaskan dengan jaminan polis awal petang ini.

Pengarah portal berkenaan, Pavalaselvan Marimuthu, mengesahkan perkara tersebut ketika dihubungi Malaysiakini sebentar tadi.

"Dia dibebaskan dengan jaminan polis petang tadi.

"Kami akan berbincang dengan peguam kami sebelum mengambil sebarang tindakan lanjutan," katanya ringkas.

Terdahulu, Kalidas ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim selepas hadir untuk memberi keterangan berkaitan satu insiden pencerobohan yang didakwa berlaku pada 26 Mac lalu di Kulim Hi-Tech Park (KHTP).

Menurut Pavalaselvan, Kalidas berada di lokasi kejadian bersama beberapa pengamal media lain, aktivis, serta wakil NGO untuk membuat liputan mengenai dakwaan kewujudan lebih 300 pendatang tanpa izin (Pati) yang bekerja tanpa permit sah.

"Kami bukan sekadar blog atau pempengaruh. Kami berdaftar dengan Jabatan Penerangan dan mempunyai kad media rasmi. Penahanan ini sangat mengejutkan," tegas Pavalaselvan.

Dia menjelaskan bahawa Kalidas dihubungi polis kelmarin untuk membantu siasatan, namun sebaik sahaja hadir ke balai hari ini, pihak polis memutuskan untuk menahannya bagi siasatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Zulkefli Azizan berkata siasatan dimulakan selepas seorang penyelia keselamatan sebuah syarikat swasta membuat laporan mengenai dakwaan pencerobohan lapan buah kenderaan ke dalam kawasan kilang di Kampung Sungai Seluang.

"Dua orang pengawal keselamatan yang bertugas cuba menghalang kemasukan kenderaan-kenderaan tersebut, namun arahan tidak diendahkan dan semua kenderaan terus meluru masuk ke dalam kawasan premis," katanya.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan penjelasan pihak didakwa menceroboh itu.

Polis memaklumkan kumpulan individu tersebut dipercayai membuat rakaman video dan mengambil gambar kawasan kilang sebelum beredar keluar semula melalui pintu pagar utama.

Setakat ini, seramai 11 suspek berusia antara 22 hingga 62 tahun ditahan berhubung kes berkenaan pada 27 dan 28 Mac.

Kes disiasat bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan atas dakwaan pencerobohan jenayah, yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM3,000, atau kedua-duanya sekali.

Penahanan itu dikritik oleh Majlis Media, kumpulan wartawan dan anggota parlimen atas kebimbangan mencabul kebebasan media.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS