Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perkukuh ekonomi domestik, utamakan barangan tempatan - PM
Diterbitkan:  Mar 31, 2026 6:13 PM
Dikemaskini: 10:58 AM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyeru orang ramai memperkukuh ekonomi domestik susulan tekanan ekonomi akibat perang di Asia Barat.

"Utamakan barangan tempatan dan sokonglah usahawan kita, kerana kekuatan dalaman merupakan benteng utama dalam mendepani krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat," kata Anwar.

Anwar berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi meneliti perkembangan krisis tenaga global yang kian meruncing serta implikasinya terhadap ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.

Antara kapal yang dibom di Selat Hormuz, gambar hiasan.

Perang di Asia Barat melibatkan Amerika Syarikat (AS) dan Israel melawan Iran menyebabkan lonjakan harga minyak susulan penutupan Selat Hormuz sebagai laluan perdagangan penting dunia.

Aktiviti perkapalan melalui Selat Hormuz–laluan utama bagi pembekalan minyak dan gas asli cecair dari negara-negara Teluk Parsi ke pasaran global–dilaporkan terhenti sepenuhnya, menyebabkan kenaikan harga di seluruh dunia.

Pakar ekonomi menganggarkan lonjakan harga minyak sehingga AS$150 setong sekiranya Selat Hormuz terus ditutup sehingga sebulan lagi.

Menulis di media sosial, Anwar berkata dunia sedang memasuki fasa yang lebih mencabar dan tidak menentu.

Namun, katanya, asas ekonomi negara kekal kukuh dan berdaya tahan dalam mendepani situasi tersebut.

"Kerajaan Madani akan terus bertindak secara proaktif berlandaskan data dan realiti semasa, termasuk mendapatkan pandangan pihak industri serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS), agar setiap langkah yang diambil bersifat menyeluruh, berimbang dan berkesan," katanya.

Dalam mesyuarat tersebut, Anwar menekankan bahawa kerajaan tidak boleh alpa dan mesti bersiap siaga dengan disiplin serta semangat kebersamaan yang tinggi memandangkan Malaysia tidak terkecuali daripada tempias krisis global.

Dia memberi jaminan bahawa setiap keputusan yang bakal diambil akan terus berpaksikan tanggungjawab dan kepentingan rakyat bagi memastikan kestabilan bekalan tenaga serta kelangsungan ekonomi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS