Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Konvensyen PKR Johor panas: Ramanan 'serang' Rafizi, Hassan jerit bantah
Diterbitkan:  Apr 5, 2026 6:15 PM
Dikemaskini: 12:00 PM

Konvensyen PKR Johor yang berlangsung hari ini bertukar panas apabila Naib Presiden PKR, R Ramanan dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim saling bertikam lidah.

Berdasarkan rakaman video, Ramanan ketika berucap dalam konvensyen berkenaan mengulas tindakan bekas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang didakwanya “menyerang” parti itu.

"Bila individu sendiri dari parti menyerang parti…,” kata Ramanan.

Hassan lantas mencelah daripada tempat duduk hadirin dengan berkata: "Ini konvensyen, bukan nak serang individu tertentu!

Ramanan membalas bahawa dia tidak menyerang mana-mana individu dan dia berhak bercakap di atas pentas.

"I know your floor! Ini negeri Johor! Saya ahli parlimen Johor! Saya tak setuju! Itu Rafizi tak ada di sini. Kenapa nak serang dia?!" jawab Hassan.

Ramanan kemudian terus membalas teguran Hassan, menjadikan keadaan semakin panas.

"Dia (Rafizi) tak ada di sini tak apa. Yang dia serang parti. Patut you lindungi parti, YB. You should defend the party, that is what i’m saying," kata Ahli Parlimen Sungai Buloh itu sambil disambut teriakan "Setuju" oleh seorang ahli PKR.

“Saya mungkin baru dalam parti ini berbanding kamu (Hassan) YB, tetapi saya cintakan parti ini. Saya cintakan presiden saya!” kata Ramanan sambil disambut laungan "sokong!" daripada mereka yang hadir.

Malaysiakini telah menghubungi Hassan untuk mendapatkan komen.

Semalam, Rafizi, berkata dia tidak akan berdiam diri jika keluar daripada PKR; malah akan lebih lantang dan bebas bersuara.

Rafizi memberitahu Malaysiakini hari ini, “Apa yang berlaku dalam PKR tidak lagi terlalu membimbangkan saya.”

“Jika kepimpinan terus berkelakuan seperti ini, ia hanya menampilkan drama yang sedang berlangsung dan terus melemahkan parti,” kata Ahli Parlimen Pandan itu.

Konvensyen PKR Johor yang diadakan di Johor Bahru itu turut dihadiri Presiden PKR, Anwar Ibrahim, Pengerusi PKR Johor Dr Zaliha Mustafa, Setiausaha Agung, Fuziah Salleh; Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil; Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek dan Ketua Pemuda PKR (AMK), Kamil Abdul Munim.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS