Presiden PKR Anwar Ibrahim memuji Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim, pada konvensyen PKR Johor semalam, menyatakan dia merupakan ahli parti yang setia walaupun sering mengkritik.
“Saya kenal dia. Orangnya keras, berprinsip tinggi, degil nak mampus,” kata Anwar secara berseloroh.
"Tapi (kritikan) dengan cara baik. Dia tak pernah minta duit dengan saya. Dia tak pernah lobi untuk jawatan gila-gila. Tak ada.
"Jadi kalau saya tengok. Dia ni kerja ok, semangat ok, keras kepala tak ok. Tapi tak apalah bila you kira semuanya sekali dan setia. He is loyal to the core," kata Anwar lagi.

Dia turut menyatakan keyakinan bahawa Hassan akan tetap berkempen untuk mana-mana calon PKR atas dasar kesetiaan.
Kenyataan Anwar itu dibuat tidak lama selepas Hassan dan Naib Presiden PKR R Ramanan terlibat dalam pertikaman lidah, susulan serangan terbuka yang dilancarkan Ramanan terhadap Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.
Berdasarkan rakaman video, Ramanan ketika berucap dalam konvensyen berkenaan mengulas tindakan bekas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang didakwanya “menyerang” parti itu.
"Bila individu sendiri dari parti menyerang parti…,” kata Ramanan.

Hassan lantas mencelah daripada tempat duduk hadirin dengan berkata: "Ini konvensyen, bukan nak serang individu tertentu!
Ramanan membalas bahawa dia tidak menyerang mana-mana individu dan dia berhak bercakap di atas pentas.
"I know your floor! Ini negeri Johor! Saya ahli parlimen Johor! Saya tak setuju! Itu Rafizi tak ada di sini. Kenapa nak serang dia?!" jawab Hassan.
Ramanan kemudian terus membalas teguran Hassan, menjadikan keadaan semakin panas.
"Dia (Rafizi) tak ada di sini tak apa. Yang dia serang parti. Patut you lindungi parti, YB. You should defend the party, that is what i’m saying," kata Ahli Parlimen Sungai Buloh itu sambil disambut teriakan "Setuju" oleh seorang ahli PKR.
“Saya mungkin baru dalam parti ini berbanding kamu (Hassan) YB, tetapi saya cintakan parti ini. Saya cintakan presiden saya!” kata Ramanan sambil disambut laungan "sokong!" daripada mereka yang hadir.
Semalam, Rafizi, berkata dia tidak akan berdiam diri jika keluar daripada PKR; malah akan lebih lantang dan bebas bersuara.
