Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penerimaan rendah, tawaran Sunway ambil alih IJM luput 
Diterbitkan:  Apr 7, 2026 11:45 AM
Dikemaskini: 5:25 AM

Sunway Bhd menyatakan penghargaan kepada para pemegang kepentingan selepas tawaran pengambilalihan sukarela bersyaratnya ke atas IJM Corporation Bhd luput selepas gagal mencapai tahap penerimaan yang diperlukan.

Kira-kira 33 peratus daripada pemegang saham IJM menerima tawaran tersebut, mencerminkan keyakinan terhadap visi dan cadangan konglomerat itu.

Sunway memaklumkan bahawa pemegang sahamnya memberikan sokongan yang amat baik terhadap cadangan itu, dengan 99.27 peratus mengundi menyokong dalam mesyuarat agung luar biasa, menunjukkan sokongan padu terhadap rasional strategik tersebut.

“Kami menghormati keputusan para pemegang saham IJM dan hasil daripada proses tersebut. Dalam sebarang urus niaga pada skala ini, berbeza pandangan adalah lumrah dan kami menghargai perbincangan awam yang aktif sepanjang tempoh tawaran tersebut.

“Kami percaya bahawa pihak-pihak berkaitan yang terlibat dalam proses tawaran itu akan memudahkan pemulangan saham dengan segera yang telah didepositkan di bawah tawaran tersebut selaras dengan prosedur yang ditetapkan,” menurut Sunway dalam kenyataan di Kuala Lumpur.

Menurut konglomerat itu, cadangan tersebut bertujuan memberikan nilai jangka panjang yang mampan dan membolehkan pemegang saham mengambil bahagian dalam pertumbuhan kumpulan dengan asas yang kukuh.

Sunway memaklumkan pihaknya terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan strateginya dan penyampaian nilai dalam perniagaan bersepadunya.

Semalam, Maybank Investment Bank Bhd mengumumkan bahawa tawaran pengambilalihan Sunway telah luput selepas gagal memperoleh lebih daripada 50 peratus untuk saham undian IJM.

Setakat 5 petang pada Isnin, Maybank IB melaporkan bahawa Sunway hanya memperoleh penerimaan yang sah untuk 1.17 bilion saham IJM, mewakili 33.43 peratus daripada jumlah saham undian.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS