PAS dan bekas timbalan presiden Bersatu, Hamzah Zainuddin mempunyai perancangan lain untuk Perikatan Nasional (PN), kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Puad Zarkashi.
Menurutnya, PAS lebih rela kehilangan Bersatu daripada kehilangan Hamzah dan 18 ahli Parlimen Bersatu yang menyokongnya.
Katanya, ini adalah antara alasan mereka sehingga pelantikan ketua pembangkang ditangguhkan ke bulan Jun depan.

“(Presiden Bersatu) Muhyiddin (Yassin) mengeluh, kenapa lambat melantik ketua pembangkang. Bulan Jun lambat sangat.
“Keluhan itu jadi bukti Pengerusi PN lebih berkuasa daripada Pengerusi Majlis Presiden. Muhyiddin macam pengemis. Dihina bukan sahaja oleh PAS tetapi oleh Hamzah.
“Sekaligus menghina parti Bersatu,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Jumaat lalu, PAS memberi bayangan bahawa tempoh masih panjang sebelum Dewan Rakyat bersidang sekali lagi, daengan presiden parti itu, Abdul Hadi Awang berkata buat masa ini parti itu – yang kini menguasai sebahagian besar jawatan penting dalam PN – perlu memberi perhatian kepada beberapa isu lain.
Sebab itu, tambah Abdul Hadi, PAS memerlukan lebih banyak masa untuk berbincang sebelum membuat sebarang keputusan.
Penyandang tugas ketua pembangkang di Dewan Rakyat kini disandang oleh Hamzah selaku ahli Parlimen Larut, sejak Dis 2022 iaitu selepas PH dan BN menjalin kerjasama sekaligus membentuk kerajaan pusat.

Hamzah ketika itu menjadi setiausaha agung Bersatu dan PN sebelum dipilih sebagai timbalan presiden Bersatu awal Okt 2024. Bagaimanapun krisis dalaman Bersatu menyaksikan Hamzah dipecat serta-merta oleh partinya pada 13 Feb lalu.
“PAS dan Hamzah ada perancangan lain. Sebab itu tangguh ke bulan Jun.
“Hamzah perlukan parti baru sebagai tempat berteduh dan senjata untuk tawar menawar. 18 ahli Parlimen bersamanya.
“Ia mungkin digunakan untuk menyertai PN. Bersatu akan bantah. PAS akan cari jalan tendang Bersatu daripada PN,” kata Puad.
Dia berkata pada akhirnya, Muhyiddin akan senasib dengan Dr Mahathir Mohamad yang dikhianati dan disingkirkannya semasa bersama Bersatu.
“Terpinggir ketika menanti hari senja.
“Nasihat saya, tinggalkan segera Bersatu. Kapal makin karam,” kata Puad lagi.
Hamzah yang juga adalah bekas menteri kini menjadi ahli parlimen tanpa parti.

PAS pula sudah menyatakan keinginan mereka untuk mengisi jawatan ketua pembangkang.
Ketua Whip PN yang juga Setiausaha Agung PAS dan PN, Takiyuddin Hassan, memaklumkan kedudukan Hamzah sebagai ketua pembangkang masih kekal setakat ini, dengan tempatnya juga tidak berubah.
Muhyiddin, bagaimanapun mendesak PAS agar segera menamakan calon mewakili parti itu untuk menggantikan Hamzah bagi mengelak daripada menjejaskan imej PN.
