Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKR sokong pendirian Paus Leo XIV, bidas Trump isu Iran
Diterbitkan:  Apr 14, 2026 2:30 PM
Dikemaskini: 7:23 AM

PKR menyatakan solidariti teguh terhadap Paus Leo XIV susulan pendiriannya menentang ancaman peperangan oleh pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan rejim Zionis terhadap Iran.

Pengerusi Biro Antarabangsa PKR Maszlee Malik berkata, tindakan tersebut merupakan satu seruan untuk keamanan dan kawalan diri ketika dunia berada di ambang konflik yang lebih luas.

“Kami memuji pengisytiharan tegas Paus bahawa dia ‘tidak takut dengan pentadbiran Trump’ dalam menyuarakan kebenaran Gospel. 

“Ini bukan sekadar pendirian seorang pemimpin agama; ia adalah penzahiran keberanian moral dalam menghadapi hegemoni yang agresif,” kata bekas menteri pendidikan.

Maszlee Malik

Dalam kenyataan hari ini, Maszlee juga membidas kenyataan balas Trump terhadap Paus Leo XIV yang menyifatkan pemimpin agama itu sebagai "lemah dalam menangani jenayah" dan "teruk dalam dasar luar".

Maszlee menyifatkan serangan Trump sebagai satu bentuk penghinaan diplomatik dan serangan terhadap kebebasan beragama.

"Trump yang menuntut supaya pihak gereja mengehadkan peranan mereka mengikut imaginasi politiknya yang sempit adalah satu serangan terhadap prinsip kebebasan beragama dan kemerdekaan moral," katanya.

PKR turut mengkritik tindakan pentadbiran AS yang menggunakan imej yang menggambarkan Trump sebagai figura seperti Jesus, yang disifatkan sebagai "delusi maha kuasa".

Biro tersebut menyeru masyarakat antarabangsa untuk menyokong gesaan Vatican bagi segera mengendurkan ketegangan dan kembali kepada diplomasi pelbagai hala.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS