Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan membuka tirai Konvensyen 80 Tahun Umno dengan peringatan kepada pihak yang pada satu ketika telah “mentalkinkan” parti itu selepas kekalahan dialami pada pilihan raya umum 2018.
Mohamad, yang turut menyambut ulang tahun ke-70, berkata Umno kini berjaya bangkit, sementara pihak terbabit pula didakwa telah berkubur.
“Yang nak talkinkan kita dulu dia dah kafankan diri dia sendiri,” katanya, tanpa menyebut nama sebarang parti, namun dipercayai merujuk kepada Bersatu yang merupakan parti serpihan Umno.
Pada 2023, Ketua Pemuda Bersatu ketika itu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata partinya akan membantuk “mentalkinkan” Umno sebagai membalas kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang menjangkakan Bersatu akan berpecah
Mengulas lanjut, Mohamad berkata Umno berpegang pada dua kekuatan utama - pengalaman mengurus krisis, serta kesetiaan ahli - dalam usaha untuk merawat serta memulihkan parti.
Katanya, parti itu berjaya kembali berdiri tegak hasil usaha kepimpinan Ahmad Zahid bersama barisan pimpinan sedia ada.
“Ada yang lari tengah malam. Ada yang ‘bakar kelambu’. Tetapi tidak mengapalah. Itulah lumrah alam. Bila pokok condong, semua lari,” katanya.
Mohamad turut mengingatkan parti itu tidak lagi boleh bergantung kepada nostalgia sejarah, sebaliknya perlu membuktikan kemampuan melalui prestasi, kejujuran dan pembaharuan nyata bagi mengembalikan keyakinan rakyat.
“Berhenti menjual sejarah kerana orang Melayu inginkan keyakinan terhadap masa depan yang boleh Umno tawarkan, bukan rintihan emosi, tagihan simpati atau balasan hutang budi,” katanya.
Sementara itu, Mohamad turut mendakwa terdapat pihak yang cuba menimbulkan perpecahan antara dirinya dan Zahid.
“Ada orang nak lagakan saya dengan Datuk Seri (Zahid). Apa orang tak cakap pasal Datuk Seri, adu domba untuk lagakan.
“Tetapi saya butakan mata dan tenangkan jiwa untuk bersama dengan parti,” tegasnya.
Mohamad berkata, pada usia 70 tahun, beliau tidak lagi mengejar kedudukan atau kerjaya politik, sebaliknya mahu menumpukan sumbangan kepada Umno dan negara.
“Saya bercakap hari ini ketika menyambut usia 70 tahun. I got nothing to lose (Saya tak ada apa-apa nak dipertaruhkan).
“Saya bukan lagi nak cakap pasal kerjaya, tetapi hendak bagi balik sumbangan kepada parti dan negara,” katanya.
