Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Jangan jadi batu api' - Wan Rosdy tempelak Guan Eng
Diterbitkan:  May 6, 2026 3:17 PM
Dikemaskini: 7:23 AM

Naib Presiden Umno Wan Rosdy Wan Ismail menyelar kenyataan Penasihat DAP Lim Guan Eng yang melabelkan Umno dan BN sebagai rakan yang tidak boleh dipercayai dalam Kerajaan Perpaduan.

Menurut menteri besar Pahang itu, kenyataan sedemikian tidak membantu dan boleh mengeruhkan keadaan ketika pimpinan BN serta PH sedang berusaha mencari penyelesaian terhadap isu berbangkit.

Wan Rosdy Wan Ismail

"Saya ingin mengingatkan Lim Guan Eng agar tidak menjadi batu api yang mampu mencetuskan masalah lebih besar.

“Jika beliau mempunyai pandangan negatif terhadap Umno dan BN, beliau juga perlu memahami bahawa ramai dalam Umno BN mempunyai pandangan yang sama terhadap beliau," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Wan Rosdy, semua pihak perlu bertindak matang dan profesional demi kepentingan rakyat dan kestabilan politik negara.

"Sebagai pemimpin senior, tanggungjawab kita adalah untuk menyatukan dan memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan, bukannya mengeluarkan kenyataan yang boleh merosakkan hubungan antara parti-parti dalam kerajaan.

"Rakyat mahukan kestabilan dan penyelesaian, bukan pertelingkahan politik yang berpanjangan," kata Wan Rosdy lagi.

Semalam, menerusi satu kenyataan, ahli parlimen Bagan itu, menggesa rakyat untuk menolak Umno dan BN yang disifatkannya sebagai rakan kerjasama yang tidak boleh dipercayai dalam kerajaan perpaduan.

Merujuk percubaan Umno Negeri Sembilan baru-baru ini untuk menggulingkan Menteri Besar Aminuddin Harun, Lim berkata, ia membuktikan gabungan tersebut sanggup mengketepikan kepentingan nasional demi manfaat politik peribadi.

"Percubaan rampasan kuasa mereka di DUN Negeri Sembilan dengan menarik balik sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) terhadap menteri besar yang sah dan bekerjasama dengan Adun PN (Perikatan Nasional) untuk menggugat kestabilan kerajaan negeri Negeri Sembilan adalah satu contoh nyata," katanya.

Selain itu, kata Lim, yang juga adalah bekas setiausaha agung DAP, adalah kenyataan yang sering disebut bahawa BN dan Umno akan bergerak secara bersendirian atau solo pada pilihan raya umum akan datang dan akan menentang PH walaupun mereka bekerjasama dan memegang jawatan kabinet utama dalam kerajaan perpaduan.

"Tikaman dari belakang yang berulang kali terhadap PH oleh BN dan Umno ini jelas menunjukkan bahawa mereka harus terus ditolak oleh rakyat," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS