mk-logo
Berita
TikTok disekat: Tei nak 'berkampung' di Kementerian Komunikasi
Diterbitkan:  May 8, 2026 4:47 PM
Dikemaskini: 8:47 AM

Albert Tei bersama sekumpulan pencipta kandungan melancarkan protes dengan duduk dan bantah di kawasan lobi Kementerian Komunikasi di Putrajaya hari ini.

Malah mereka menegaskan akan terus berkampung di situ selagi tidak mendapat penjelasan daripada Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berhubung dakwaan sekatan terhadap akaun TikTok milik ahli perniagaan terbabit.

Kira-kira jam 4.15 petang tadi, Tei – yang kini berdepan dengan dua pertuduhan terkait skandal rasuah Sabah – mendakwa mereka sudah menunggu di situ selama dua sejam.

Tei juga mendakwa mereka sanggup “bermalam” di situ selagi Fahmi tidak bersetuju memenuhi tuntutan mereka untuk bertemu.

Walaupun mendakwa akaun TikToknya disekat, protes duduk bantah itu disiarkan secara langsung menerusi satu lagi akaun milik Tei.

Dalam hantaran berkenaan Tei mengejek Fahmi sebagai “terlalu takut” untuk berjumpa mereka.

“Jika menteri tidak datang, saya akan terus berada di sini sampai dia datang. Saya akan tidur di sini,” dakwanya.

Menerusi siaran langsung itu Tei dan kumpulannya duduk bersila di lantai sambil bersembang dan menyanyi lagu yang direka dan ditujukan kepada Fahmi.

Pada Selasa lalu, Tei, 39, membuat laporan polis bagi mendesak pihak berkuasa membuka kertas siasatan terhadap Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, serta bekas pembantunya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Ia susulan pendedahan rakaman video memaparkan seorang ahli perniagaan, Sofia Rini Buyong, bercakap dengan individu lain yang dipercayai Tei sendiri.

Dalam klip video itu Sofia Rini mendakwa individu bernama “Anwar” mengarahkan seorang individu lain bernama “Farhash” mencuri wang untuk dihantar ke Afrika.

Dalam laporan polisnya, Tei berkata selepas dua minggu berlalu, tiada laporan polis dibuat sama ada oleh Anwar atau Farhash sendiri, selain tidak mengambil tindakan undang-undang seperti menyaman Sofia atas dakwaan tersebut.

Bagaimanapun pada 6 Mei lalu Farhash tampil menafikan dakwaan tersebut dan berkata dia mengesyaki tuduhan yang dikenakan ke atasnya didalangi pihak tertentu yang berniat tidak baik.

Malah dia menganggap tuduhan yang dikaitkan itu adalah sangat serius.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS