Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tak cukup sokong demo, Pemuda PAS mahu Adun DAP diambil tindakan

PAS Selangor berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana menyokong penganjuran Himpunan Daulat Tuanku di depan pintu masuk bangunan pentadbiran di Shah Alam pada Sabtu ini.

Bagaimanapun, ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata mereka tetap mempersoalkan pendirian kerajaan negeri yang dilihat belum mengambil sebarang tindakan ke atas Adun DAP, Wong Siew Ki.

Menurutnya, sokongan kerajaan negeri terhadap himpunan tersebut tidak bermakna sekiranya tiada tindakan lanjut dikenakan terhadap Adun Seri Kembangan itu.

“Saya ucap terima kasih kepada kerajaan negeri kerana menunjukkan komitmen mereka mendukung himpunan tersebu, tetapi kenapa Adun Seri Kembangan tidak dikenakan sebarang tindakan di DUN Selangor?

"Itu persoalan yang kami bangkitkan,” katanya kepada Malaysiakini.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas sokongan yang diberikan pihak kerajaan Selangor terhadap penganjuran himpunan berkenaan.

Semalam Malaysiakini melaporkan exco negeri itu, Najwan Halimi, akan meminta polis memudah cara perhimpunan tersebut, malah menyediakan makan minum kepada peserta.

Tak fokus pada tokoh

Menurut Najwan, himpunan berkenaan memang selaras dengan pendirian kerajaan negeri yang konsisten mempertahankan Islam, kepentingan Melayu dan kedaulatan institusi diraja.

“Semoga himpunan yang dirancang diadakan secara aman, tertib dan tidak menganggu ketenteraman awam,” katanya.

Mengulas lanjut, Sukri berkata jika kerajaan benar-benar selari dalam mempertahankan institusi diraja, Wong sepatutnya dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Selangor.

“DUN Selangor hari ini ramai Adun DAP, ada PKR dan ada pemimpin Amanah, kenapa mereka tak boleh buat kata putus untuk mengenakan tindakan kepada Adun DAP?

“Kalau mereka kata (alasan) tak bolehlah sebab kerajaan negeri asing, speaker dewan negeri lain, tetapi setidaknya kerajaan negeri yang ditadbir PH ini mereka majoriti dan mereka boleh kenakan tindakan pada Adun tersebut.

"Mereka boleh buat konsensus dan keluarkan kenyataan bersama dan menegaskan yang kerajaan negeri tidak bersetuju dengan kenyataan Adun Seri Kembangan,” katanya.

Menurut Sukri, Pemuda PAS Selangor mahu kerajaan negeri menzahirkan pendirian lebih jelas dan bukan sekadar menyokong himpunan berkenaan.

Wong Siew Ki

Sementara itu Sukri berkata himpunan berkenaan dianjurkan bagi menyatukan suara anak muda dalam mempertahankan institusi diraja Selangor.

Katanya, pelbagai parti politik dan NGO dijemput menyertai himpunan tersebut termasuk Bersaja, Pejuang, Perkasa dan Ikatan Muslimin Malaysia.

“Himpunan ini lebih kepada menyatukan suara anak muda mempertahankan institusi diraja Selangor.

“Kami tak fokus pada mana-mana tokoh tapi kita fokus rakyat yang datang, bagaimana rakyat ekspresi kesetiaan dan kasih mereka kepada institusi diraja di Selangor,” katanya.

Tambah Sukri, peserta juga akan menyerahkan memorandum taat setia kepada Sultan Selangor di Istana Kayangan sekitar jam 4 petang sebelum berkumpul dan menunaikan solat berjemaah di Masjid Negeri.

Katanya, peserta kemudian dijangka berarak ke Bangunan SUK Selangor untuk himpunan dan ucapan daripada pelbagai tokoh termasuk tokoh sejarah dan perundangan.

Sukri bagaimanapun enggan mendedahkan identiti tokoh yang bakal hadir atas faktor keselamatan dan kebimbangan berlaku “sabotaj”.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS