Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Puad: PAS berdendam, jadikan Hamzah 'kambing hitam' lemahkan Bersatu
Diterbitkan:  May 26, 2026 1:26 PM
Dikemaskini: 5:41 AM
1

Hubungan antara PAS dan Bersatu kini dilihat saling memperalatkan bekas timbalan presiden Bersatu Hamzah Zainuddin sebagai "kambing hitam" dalam usaha melemahkan antara satu sama lain.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi mendakwa, PAS masih menyimpan dendam terhadap Bersatu yang tetap membara susulan kejatuhan menteri besar PAS di Perlis sebelum ini.

Puad Zarkashi

Menurut Puad, PAS akan menggunakan Hamzah sebagai senjata politik bagi memastikan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menjadi semakin lemah dan tidak lagi relevan. Ini, terutamanya selepas pelantikan Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai ketua pembangkang dan pengerusi Perikatan Nasional (PN), akhir tahun lalu.

"Tetapi Bersatu berjaya menghalang PAS membawa masuk Hamzah dan kumpulannya ke dalam PN apabila penyertaan parti Berjasa ke dalam PN gagal.

“Bersatu tahu Hamzah akan mengambil alih parti Berjasa," katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.

Ahad lalu, Malaysiakini menyiarkan laporan mengenai rasa kurang senang Bersatu – yang berkongsi wadah dengan PAS dalam PN – terhadap sikap berseteru ditunjukkan oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang terkait hubungan semasa mereka.

Pada Jumaat lalu Abdul Hadi menyatakan rasa kurang sabar PAS terhadap Bersatu berhubung beberapa isu termasuk jatuhnya Adun mereka yang juga anggota Jawatankuasa PAS Pusat, Mohd Shukri Ramli, dari jawatan Menteri Besar Perlis pada 25 Dis tahun lalu.

Kedudukan jawatan tersebut diambil alih oleh Pengerusi Bersatu Perlis merangkap Adun Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang itu juga menyebut kegagalan PN menjatuhkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun, sebagai satu lagi sebab mengapa Bersatu tidak menunjukkan semangat setia kawan yang sepatutnya.

Justeru Abdul Hadi berkata, PAS “akan mengajar” parti itu “satu per satu”.

Bersatu pula memberitahu mereka memandang serius kenyataan dikeluarkan ahli politik yang menjadi presiden PAS paling lama itu dan membincangkannya dalam mesyuarat biro politik mereka.

Mengulas lanjut, Puad mendakwa bahawa PAS masih mempunyai ruang untuk bertindak balas terhadap Bersatu dalam mendepani persaingan politik akan datang.

Katanya, PAS boleh memberi kebenaran kepada Hamzah bersama-sama 18 ahli parlimenlain yang menyokongnya untuk bertanding menggunakan logo PAS pada pilihan raya akan datang.

"Kalau itu berlaku Bersatu akan terkubur," kata Puad lagi.

Untuk rekod, Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai pengerusi PN pada 30 Disember 2025. Dia digantikan oleh Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar selaku pengerusi dan Muhyiddin kini sekadar timbalan pengerusi PN. Timbalan pengerusi yang lain ialah Presiden Gerakan, Dominic Lau; Presiden Parti Rakyat India Malaysia P Punithan; serta Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS