Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KKM kenal pasti kompleks sukan Taman Medan untuk hospital baru PJ

Tapak seluas enam hektar di Taman Medan, yang kini menempatkan sebuah kompleks sukan moden, mampu menyelesaikan keperluan mendesak untuk pembinaan sebuah hospital awam bagi keperluan penduduk yang berkepadatan tinggi di koridor Petaling Jaya-Subang-Puchong.

Menurut Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad, mesyuarat teknikal baru-baru ini antara Kementerian Kesihatan (KKM) dan kerajaan negeri Selangor mengenal pasti kompleks yang dipanggil X Park PJ South itu sebagai tapak berpotensi untuk kemudahan baharu berkenaan.

Dia memberitahu Malaysiakini kawasan tanah seluas 15 ekar itu terletak secara strategik untuk menyediakan perkhidmatan perubatan kepada penduduk di kawasan sekitar, terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah (B40).

“Selain kos tanahnya yang lebih rendah, kawasan ini juga cukup luas untuk menyediakan kemudahan tempat letak kereta yang mencukupi bagi mengelakkan masalah kesesakan seperti di hospital-hospital lama.

Gambar Hiasan - Hospital Kuala Lumpur

“Sebagai langkah pelaksanaan segera, saya telah mengarahkan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Selangor untuk turun ke tapak tanah tersebut pada minggu ini juga bagi membuat pemeriksaan dan penilaian tapak.

“KKM dan kerajaan negeri Selangor akan terus bekerjasama rapat bagi memastikan segala urusan teknikal selesai dengan cepat demi kebaikan rakyat di Petaling Jaya dan kawasan sekitarnya,” katanya.

Tambah menteri itu, KKM merancang untuk membina sebuah hospital di tapak tersebut, yang akan menawarkan kemudahan 500 katil dengan lima bidang kepakaran, yang mengikut penanda aras Hospital Ampang.

Dzulkefly berkata demikian ketika menjawab soalan Malaysiakini mengenai tekanan yang semakin meningkat agar kerajaan membina hospital baharu yang dapat menampung penduduk di kawasan berkepadatan tinggi di Petaling Jaya, Puchong dan Subang.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari baru-baru ini menerima kritikan selepas dia menyatakan kos tanah yang tinggi sebagai faktor yang menghalang rancangan KKM untuk membina hospital di kawasan berkenaan.

Menurutnya, pihak kerajaan negeri dan KKM masih mencari tapak tanah yang sesuai untuk cadangan hospital awam di Petaling Jaya, memandangkan tapak yang dikenal pasti sebelum ini sama ada terlalu mahal atau terlalu jauh dari kawasan sasaran penduduk.

Mengulas mengenai perkara ini, Dzulkefly menjelaskan mereka terpaksa membatalkan rancangan awal untuk mengambil alih sebidang tanah persendirian berhampiran Jalan Klang Lama kerana harganya yang sangat tinggi.

Dia berkata kementerian perlu berhemat dalam perbelanjaan belanjawan kerajaan kerana mereka menyasarkan untuk membina hospital yang selesa dan melengkapkannya dengan peralatan canggih.

“Namun, KKM tidak sesekali mengambil jalan mudah dengan memindahkan hospital ini ke lokasi yang jauh semata-mata untuk menjimatkan kos.

“Kebajikan dan kemudahan rakyat tetap menjadi keutamaan kerajaan,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS