Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Amanah tuntut penjelasan menteri isu KL mesra hiburan
Diterbitkan:  May 28, 2026 11:43 AM
Dikemaskini: 3:46 AM

Amanah mahukan penjelasan Menteri Wilayah Persekutuan Hannah Yeoh berkaitan pendirian mesra hiburannya di Kuala Lumpur.

Pengerusi Biro Kesenian, Kebudayaan dan Sukan Wan Anwar Wan Ibrahim berkata hiburan awam tidak boleh dilihat dari sudut ekonomi, pelancongan atau komersial semata-mata. 

“Kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan orang Melayu, serta kewajipan menghormati sensitiviti masyarakat Melayu dan Islam mestilah dijadikan keutamaan dalam setiap pertimbangan dasar,” katanya.

Kelmarin, Yeoh berkata Kuala Lumpur bersedia untuk menjadi pemain utama dalam industri hiburan serantau, dengan kerajaan komited untuk mengurangkan kerenah birokrasi serta mempercepat kelulusan bagi acara antarabangsa.

Hannah Yeoh

Yeoh mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memudah cara dan mempercepat proses permohonan bagi memastikan ibu negara kekal sebagai destinasi pilihan pemain industri global.

Dia turut menekankan kesan besar ekonomi daripada acara langsung, dengan merujuk kepada cara kontroversi pesta air sebelum ini, yang menjana RM320 juta hanya dalam satu hujung minggu.

Menteri DAP itu juga berkata kerajaan menurunkan kadar deposit bagi persembahan tempatan, konsert, serta persembahan pentas dan kebudayaan.

‘Hiburan macam mana?’

Dalam kenyataan hari ini, Wan Anwar justeru mahu tahu apakah bentuk hiburan yang dimaksudkan.

“Apakah skala, kandungan, garis panduan dan kawalan yang akan digunakan? 

“Perkara ini penting supaya masyarakat tidak dibiarkan membuat tafsiran sendiri yang akhirnya boleh mencetuskan kekeliruan dan polemik,” kata pemimpin parti Islam serpihan PAS itu.

Katanya, walaupun Kuala Lumpur dihuni masyarakat pelbagai kaum dan agama, ia “tetap berdiri atas asas Perlembagaan, adab ketimuran dan sensitiviti majoriti rakyat”. 

“Justeru, sebarang bentuk hiburan yang mahu diperkenalkan mestilah jelas, terkawal dan tidak bercanggah dengan nilai masyarakat,” katanya.

Wan Anwar juga berkata mereka bersedia untuk bertemu dengan pihak Yeoh bagi mendapatkan penjelasan lanjut serta bertukar pandangan secara profesional mengenai hasrat dan kesediaan Kuala Lumpur dalam perkara itu.

“Dialog terbuka amat penting supaya pembangunan sektor hiburan tidak menjadi punca ketegangan, sebaliknya dapat dibentuk dalam kerangka yang seimbang, bertanggungjawab dan menghormati kedudukan Islam, orang Melayu serta kepelbagaian masyarakat Malaysia,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS