Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kursus farmasi di Mesir tak diiktiraf: ‘Takkan kena mengamuk ketuk meja’

Satu lagi keluarga tampil menyatakan kekecewaan susulan pelajar doktor farmasi di Mesir tidak dapat berkhidmat di Malaysia kerana kurus tidak diiktiraf negara ini.

Razlan Rafii, yang juga anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, menyatakan rasa kecewanya dengan layanan daripada pihak birokrasi kerajaan.

Katanya, rakyat Malaysia sudah terlalu biasa dengan rintihan sebegitu, tidak dilayan dengan baik sehingga ada yang terpaksa “ketuk meja” atau mengamuk untuk menyelesaikan sesuatu perkara.

"Jika mengikut saluran profesional, seolah-olah ia tidak wujud dalam kamus pentadbiran kerajaan.

"Saya berharap pihak-pihak yang memegang kuasa membuka mata dan hati. Anggaplah masalah ini seperti masalah anak sendiri. 

“Jangan butakan mata dan pekakkan telinga terhadap masa depan anak-anak Malaysia," katanya lagi.


BACA: MQA, JPT cari jalan selesai isu graduan farmasi Mesir tak diiktiraf


Anak Razlan, Nur Ain merupakan penuntut di Universiti Alexandaria Mesir, senasib dengan Nurul Izzah Afifah Mustapha, yang ibunya Noor Haslina Abdullah tampil berkongsi kisahnya dengan Malaysiakini.

Nur Ain Razlan (kanan)

Pagi ini, portal ini melaporkan Haslina kecewa apabila anak perempuannya, pelajar cemerlang 10A dalam SPM dan penghafal al-Quran, tidak dapat menduduki peperiksaan kelayakan bawah Lembaga Farmasi Malaysia (LFM) untuk melengkapkan pengajian ijazahnya.

Isteri kepada bekas Pengarah Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (BOK SPRM), Bahri Mohammad Zin itu berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) menolak permohonan anaknya kerana kursus Pharm.D ataupun doktor farmasi tidak mendapat pengiktirafan di negara ini.

Sedangkan, katanya, anaknya melanjutkan pengajian ke universiti melalui surat tawaran yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Katanya, selepas keputusan SPRM 2020 ketika era Covid-19 yang mencabar, KPT meluluskan pengajian anaknya dalam bidang farmasi di Universiti Alexandaria, Mesir.

Pihak universiti, kata Haslina, kemudian menaik taraf kurus tersebut daripada bachelor of pharmacy kepada pharmd clinical. 

PharmD Clinical ini bagaimanapun belum diiktiraf kerajaan Malaysia, menyebabkan penuntut tidak dapat mengambil peperiksaan  LFM untuk melayakkan mereka membuat praktikal di Malaysia serta untuk menjadi ahli farmasi di negara ini.

Sanggup taja LFM ke Mesir

Sementara itu, Razlan berkata ibu bapa telah melakukan pelbagai usaha tetapi tiada usaha daripada pihak berwajib.

"Pelbagai usaha telah dilakukan, namun apa yang berlaku memperlihatkan seolah-olah kerajaan gagal menyelesaikan isu ini. Lebih mengecewakan, pihak berwajib dilihat lebih rela berpeluk tubuh daripada mengambil tanggungjawab mencari jalan penyelesaian.

"Keluarga sanggup mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk menampung kos Lembaga Farmasi Malaysia ke Mesir, namun usaha itu juga ditolak dan tidak dilayan dengan sewajarnya,” katanya.

Dia juga berkata mereka telah memberitahu menteri kesihatan tetapi dimaklumkan kementerian itu tidak mempunyai kuasa terhadap LFM.

“Sikap lepas tangan semua pihak dalam perkara ini adalah satu kelalaian yang amat mengecewakan," katanya.

Razlan berkata kerajaan seharusnya bertindak lebih proaktif dalam menangani isu seperti ini, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan wang saku rakyat dan pengorbanan keluarga yang menaja anak-anak mereka untuk belajar.

Malaysiakini sudah cuba mendapat maklum balas Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad.

Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir memberitahu Malaysiakini bahawa mengambil perhatian serius terhadap isu membabitkan penuntut universiti berkenaan.

Katanya, beberapa aspek teknikal berkaitan pengiktirafan program pengajian sedang diteliti oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Sementara itu, LFM dilaporkan berkata mereka tidak dirujuk dalam proses penawaran program farmasi klinikal (PharmD) di Universiti Alexandria, Mesir oleh KPT.

LFM berkata belum ada permohonan yang dikemukakan bagi pengiktirafan  program baru di Universiti Alexandria dan justeru ia masih belum diiktiraf, lapor Berita Harian.

Sementra itu, Ketua Pegawai Eksekutif MQA Mohammad Shatar Sabran, berkata Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) dan KKM komited mencari penyelesaian supaya graduan terbabit diiktiraf oleh LFM.

Katanya, walaupun berlaku perubahan nama program, kandungan ilmu atau body of knowledge program tersebut masih berada dalam bidang farmasi.

Justeru katanya, tindakan susulan akan diambil antaranya memperincikan kaedah mengemas kini penamaan baru itu dalam Jadual 1 Akta 371, supaya universiti  menghantar permohonan rasmi kepada LFM.

Buat masa ini, katanya, program pengajian di universiti itu diiktiraf dan graduannya boleh memohon pekerjaan melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) namun tidak boleh menjalankan amalan sebagai ahli farmasi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS