Kerajaan dijangka menangguhkan sebarang perubahan terhadap subsidi petrol RON95 selama yang mungkin walaupun berdepan kebimbangan kenaikan harga minyak global dan potensi kekangan bekalan dalam beberapa bulan akan datang, menurut seorang pegawai kanan kerajaan.
Pengarah Kanan Ekonomi dan Kewangan di Pejabat Perdana Menteri, Nurhisham Hussein berkata petrol kekal sebagai isu yang “sensitif dari segi politik” kerana kesannya yang langsung kepada pengguna.
“Jadi petrol saya rasa memang satu isu yang banyak sangat sensitif dan dia ada impak terus kepada poket rakyat, ya. Jadi saya rasa kalau pun ada penyelarasan subsidi petrol, dia akan cuba push it back later, ya," kata Nurhisham ketika menjadi tetamu podcast Keluar Sekejap.
“Itu akan menjadi antara pilihan terakhir,” jelasnya.

Menjawab soalan hos podcast itu, Khairy Jamaluddin, Nurhisham memberi amaran bahawa keadaan semasa pasaran minyak mungkin menutupi masalah bekalan sebenar, dengan penganalisis menjangkakan persekitaran yang lebih mencabar pada separuh kedua tahun ini.
Katanya, pasaran ketika ini lebih tenang susulan pengurangan import oleh China serta pelepasan rizab petroleum strategik oleh beberapa ekonomi utama dunia.
Bagaimanapun, dia mengingatkan langkah sedemikian tidak boleh diteruskan selama-lamanya.
“Pada satu ketika, anda tidak boleh terus melepaskan rizab.

“Pada satu ketika, China akan mula mengimport lagi sekali.
“Pada satu ketika, anda perlu membina semula rizab strategik anda," jelasnya lagi.
“Kekurangan bekalan fizikal itu masih wujud,” katanya.
Harga mungkin terus naik
Menurut Nurhisham, beberapa pakar industri mengunjurkan Julai dan Ogos boleh menjadi tempoh yang “sangat tidak selesa” apabila negara-negara mula mengisi semula rizab yang semakin berkurangan, sekali gus berpotensi memberi tekanan ke atas harga.
Tambahnya, harga minyak mentah sekitar AS$100 setong lebih hampir kepada “nilai sebenar” komoditi itu, walaupun dalam senario terbaik.
Walaupun mengakui kebimbangan tersebut, dia berkata harga RON95 telah menunjukkan sedikit penurunan dalam jangka pendek namun menegaskan tiada jaminan harga akan kekal stabil sehingga September.
Menjawab persoalan mengenai pilihan dasar kerajaan sekiranya harga minyak meningkat mendadak, Nurhisham berkata terdapat pelbagai mekanisme lain yang boleh digunakan selain menyemak subsidi RON95.

Antaranya termasuk memperketatkan program subsidi diesel sedia ada, khususnya Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SDCS).
Katanya, kerajaan baru-baru ini mengumumkan peluasan liputan SDCS kepada kenderaan jenis jip dan pikap di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, sambil pada masa sama merasionalisasikan kuota di bawah skim tersebut.
Dia turut sependapat dengan Khairy bahawa peruntukan asal SDCS kepada sektor logistik mungkin terlalu bermurah hati ketika program itu mula diperkenalkan.
“Kita bagi terlalu banyak. Sekarang kita sebenarnya sedang mengetatkannya,” katanya.
Menurutnya, langkah itu berpotensi menjana penjimatan selepas pihak berkuasa mengumpul data operasi penggunaan bahan api selama dua tahun.
“Kita mempunyai data yang mencukupi untuk tempoh dua tahun.
“Itu akan menjadi salah satu pilihan. Kemudian kita akan melihat pilihan-pilihan seterusnya berkaitan diesel,” katanya.
Sebelum ini, Nurhisham meramalkan sektor pekerjaan pembuatan akan mula terjejas bulan depan apabila bekalan bahan mentah semakin berkurangan.
Sebaliknya, kekurangan bekalan bahan api dijangka berlanjutan sehingga penghujung tahun ini atau mungkin sehingga 2027.
