Pertubuhan Perkasa Pribumi Negara (Putra) dan Sekretariat Rakyat Bertindak (Desak) hari ini mengadakan kunjungan hormat ke atas Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Syed Danial Syed Ahmad bagi menyerahkan warkah berhubung cadangan penubuhan dua akta baharu berkaitan institusi beraja.
Warkah yang ditujukan kepada Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu itu mengandungi cadangan pengubalan Akta Kedaulatan Raja dan Akta Kesetiaan Negara.

Cadangan itu dizahirkan melalui perisytiharan Himpunan Daulat Tuanku yang diadakan pada 16 Mei lalu di hadapan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor.
Presiden Putra yang juga wakil Penyelaras Desak, Ibrahim Ali berkata, kedua-dua akta berkenaan penting bagi memperkukuh kedaulatan institusi beraja serta memelihara keharmonian negara.
"Cadangan akta ini juga adalah sebagai langkah pencegahan terhadap penghinaan yang berterusan terhadap Raja-Raja Melayu yang merupakan payung negara dan negeri, dan kesucian agama Islam sebagai agama Persekutuan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam pertemuan yang berlangsung di Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja itu, Ibrahim turut menyerahkan sembilan salinan warkah berkenaan untuk dipersembahkan kepada Raja-Raja Melayu melalui saluran rasmi.
Katanya, langkah tersebut diambil bagi memastikan kedudukan institusi beraja dan agama Islam terus dihormati serta dipertahankan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, pihak penganjur berharap cadangan tersebut mendapat pertimbangan sewajarnya demi mempertahankan kedaulatan institusi beraja di Malaysia.
Pada 16 Mei lalu, hampir 3,000 peserta hadir ke Himpunan Daulat Tuanku anjuran Pemuda PAS Selangor di depan bangunan pertadbiran negeri di Shah Alam.

Mereka terdiri daripada wakil parti politik seperti PAS, Umno, Bersatu, Pejuang dan Putra, selain beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Himpunan ini merupakan tindak balas politik terhadap isu kedaulatan raja dan negeri.
Bertemakan baju kuning, perhimpunan ini membantah pendirian pemimpin DAP mempertimbangkan penggunaan sistem penternakan babi moden serta tidak membeza-bezakan penternakan haiwan itu dengan binatang lain.
Istana bagaimanapun mahu Selangor beralih daripada penternakan kepada bekalan import sepenuhnya.
Kontroversi itu kemudian melarat kepada isu Rukun Negara selepas bekas anggota parlimen DAP Tony Pua menyifatkan titah sultan terhad dalam sistem sistem raja berperlembagaan.

Seminggu kemudian, Pemuda PAS Selangor sekali lagi berdemonstrasi menyatakan sokongan kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Shah Alam.
Perhimpunan ringkas 15 minit itu diadakan selepas solat Jumaat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam.
Dipimpin ketuanya Mohamed Sukri Omar, mereka membawa poster kuning bertulis “Daulat Tuanku” serta melaungkan slogan sama ketika sultan melangkah masuk ke kereta.
Sultan Sharafuddin sempat mengangkat tangan kepada mereka sebelum berangkat pulang daripada masjid.
