Dewan Pemuda PAS Malaysia mengajak Umno untuk kembali menghidupkan kerjasama politik melalui Muafakat Nasional (MN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Menurut Pengarah Pilihanraya Dewan Pemuda PAS, Dr Tengku Fakhruddin Tengku Md Fauzi, langkah itu adalah formula terbaik bagi mengelakkan pertembungan sesama sendiri yang akhirnya hanya akan memberi kelebihan dan kemenangan kepada Pakatan Harapan (PH).
Sebaliknya, Tengku Fakhruddin berkata, permuafakatan politik antara kedua-dua parti Melayu-Islam terbesar itu mampu memberikan kemenangan besar berdasarkan unjuran data pilihan raya lalu.

"Jika dua parti Melayu-Islam terbesar ini melakukan permuafakatan politik, 11 kerusi parlimen dan tujuh kerusi DUN di Johor akan dapat dimenangi.
"Apalah kiranya jika BN mempertimbangkan semula keputusan bertanding solo dan berunding dengan PAS, parti yang berkongsi ideologi yang sama," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Elak kelebihan kepada PH
Mengulas lanjut, Tengku Fakhruddin menjelaskan bahawa PAS dan Umno berkongsi segmen pengundi yang sama, selain masing-masing mempunyai kekuatan serta kubu kuat tersendiri di Johor.
Oleh itu, sebarang pertembungan tiga penjuru atau lebih di kawasan terbabit hanya akan memecahkan undi sekali gus menguntungkan pihak lawan.
"Disebabkan PAS dan Umno berkongsi segmen pengundi yang sama, bertembung tiga penjuru menguntungkan PH yang didominasi DAP.
"Adapun jika PAS dan Umno jayakan Muafakat Nasional, ia satu formula paling mujarab untuk pilihanraya dan kebaikan agama, bangsa dan tanah air," katanya.

Dia turut menambah bahawa kegagalan untuk membina permuafakatan tersebut berisiko menyebabkan pentadbiran negara berterusan dalam pergolakan.
Tengku Fakhruddin mendakwa tindakan kerajaan semasa sering mencarik sensitiviti rakyat serta menghasilkan dasar yang eksklusif kepada kelompok tertentu sahaja.
Isu permuafakatan ini kembali berbangkit susulan kenyataan Pengerusi Perhubungan Umno Johor, Onn Hafiz Ghazi yang juga menteri besar pada 25 Mei lalu, menegaskan bahawa Barisan Nasional (BN) akan bertanding secara solo di semua 56 kerusi DUN Johor.
Keputusan itu bermaksud, tiada lagi kerjasama di antara BN dan PH di sebalik pembentukan kerajaan perpaduan di peringkat pusat.
Pengumuman itu kemudiannya disusuli dengan pengisytiharan pembubaran DUN Johor pada 1 Jun bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri diadakan.
DUN Johor mempunyai 56 kerusi secara keseluruhan.

Dalam PRN sebelum ini - yang diadakan pada 2022 - BN memenangi 40 kerusi dan membolehkan gabungan itu mentadbir negeri.
PH pula berjaya meraih 12 kerusi, manakala PN memenangi tiga kerusi, dengan satu lagi baki kerusi diwakili Muda.
Malam tadi, bekas Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa, menyambut baik saranan dibawa PAS yang mengajak agar Muafakat Nasional 2.0 dijayakan oleh parti-parti Melayu Islam di negara ini.
Annuar yang kini menjadi salah seorang pemimpin kanan PAS malah mengemukakan ‘formula’ yang boleh dipertimbangkan oleh Umno untuk memungkinkan kerjasama tersebut berjaya dicapai.
Dia menambah ketika ini Umno sedang menggerakkan gagasan Rumah Bangsa untuk mengajak lebih ramai orang – termasuk bekas ahli parti berkenaan – bersama dengan mereka.
Katanya, ada persamaan wujud dalam Muafakat Nasional dan Rumah Bangsa iaitu memerlukan persefahaman dan penyatuan khususnya melibatkan Umno dan PAS, atau PN dan BN.

Annuar berkata Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor boleh jadi permulaan kepada pelaksanaan gagasan berkenaan.
Caranya, menurut Ketua Penerangan PN dan Timbalan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat itu lagi, diusahakan pembahagian kerusi yang dibuat berdasarkan sesebuah negeri.
Johor sebagai negeri yang menjadi kubu kuat Umno, kata Annuar, parti itu boleh bertanding sehingga 90 peratus kerusi yang mempunyai pengundi majoriti Melayu, manakala selebihnya ditandingi oleh PAS.
“Kelantan sebagai kubu PAS perlu beri 10 peratus hingga 20 peratus kepada Umno dan PAS ambil 80 peratus hingg 90 peratus.
“Jika perlu boleh pertimbangkan PRN serentak Kelantan dan Johor,” katanya yang menegaskan cadangan itu adalah bersifat peribadi.

Semalam PAS mencadangkan agar parti Melayu Islam khususnya Umno menjayakan Muafakat Nasional 2.0 ketika Johor bakal berdepan dengan PRN tidak lama lagi.
Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga Timbalan Pengerusi PN menambah semua perubahan boleh dicapai apabila wujud persefahaman dan toleransi sesama parti politik utama berteraskan Melayu Islam di negara ini.
