Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lebih 1,400 tandatangan petisyen 'dilarang ponteng Parlimen'

Aktivis politik Roshinee Mookaiah berkata lebih 1,400 rakyat Malaysia telah menandatangani petisyen Dilarang Ponteng Parlimen, hampir tiga kali ganda daripada sasaran asal iaitu sebanyak 500 tandatangan.

Bercakap kepada Malaysiakini, Roshinee berkata kempen yang dilancarkan pada pertengahan April itu melepasi sasaran sebanyak 297 peratus.

Ini ialah kali kedua petisyen berkaitan Parlimen yang diketahui setakat ini di Malaysia.

Selepas kempen itu, Roshinee membuat analisis demografi penandatangan petisyen dengan memasukkan data secara manual daripada borang petisyen, selain memastikan tiada maklumat peribadi disimpan.

Berdasarkan analisis tersebut, Roshinee berkata wanita menyumbang 825 tandatangan atau 55.5 peratus, berbanding seramai 660 lelaki atau 44.4 peratus.

“Hipotesis saya ini berdasarkan audiens dalam talian saya majoritinya wanita,” katanya.

Data menunjukkan Gen Z adalah kumpulan umur terbesar dengan 859 penandatangan (57.8 peratus), diikuti oleh milenial (32.88 peratus), Gen X (6.97 peratus), baby boomer (2.14 peratus), dan tradisionalis (0.2 peratus).

Dari segi taburan geografi, Selangor mencatat jumlah penandatangan tertinggi dengan 737 orang, mewakili 49 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Ia diikuti Kuala Lumpur dengan 278 penandatangan atau 18.6 peratus, manakala Sabah berada di tempat ketiga dengan 81 penandatangan atau 5.43 peratus.

Roshinee berkata kebanyakan penandatangan datang dari Lembah Klang kerana petisyen itu dibuat dalam borang.

“Disebabkan ini petisyen atas kertas, saya terhad dari segi geografi untuk mengadakan sesi tandatangan awam di Lembah Klang, tempat saya beroperasi.

“Jika Parlimen menerima sistem petisyen dalam talian pada masa depan, ia akan membolehkan lebih ramai orang dari seluruh negara mengambil bahagian dalam proses demokrasi unik ini,” katanya.

Petisyen itu mengemukakan empat reformasi utama bagi meningkatkan akauntabiliti dan kehadiran Ahli Parlimen di Parlimen:

- Mengurangkan syarat kekosongan kerusi bagi Ahli Parlimen yang sering tidak hadir, dengan memendekkan tempoh enam bulan tidak hadir tanpa penjelasan sebelum seseorang MP boleh kehilangan kerusinya.

- Memperkenalkan langkah disiplin dan peraturan kehadiran yang lebih jelas, termasuk garis panduan rasmi yang membolehkan tindakan diambil terhadap MP yang kerap tidak hadir.

- Meningkatkan ketelusan dengan mewajibkan Parlimen menerbitkan rekod terperinci kehadiran dan penyertaan MP, membezakan antara kehadiran fizikal semata-mata dan penglibatan aktif dalam sidang.

- Memastikan rundingan awam sebelum sebarang reformasi dilaksanakan supaya keputusan tidak dibuat oleh Parlimen semata-mata.

‘Hanya 10 tandatangan ditolak’

Roshinee berkata pihaknya masih menerima borang petisyen yang memiliki kesilapan kecil kerana perkara itu tidak dapat dielakkan dalam petisyen di atas kertas yang melibatkan ramai orang.

Menurutnya proses petisyen Parlimen masih tidak jelas dan hanya ada sedikit panduan tentang cara atau format yang betul.

"Kami sebenarnya sedang menguji dan belajar daripada proses ini secara masa nyata,” katanya.

Selepas memeriksa kesemua borang, Roshinee berkata hanya 10 penandatangan ditolak kerana kesilapan besar.

Antaranya termasuk tandatangan yang tidak lengkap, penggunaan pen berwarna salah, menandatangani dokumen selain templat petisyen, memberikan nombor pasport menggantikan nombor kad pengenalan, serta menulis di atas kertas yang ditampal pada borang petisyen.

Petisyen itu telah dihantar kepada Ahli Parlimen yang kemudian akan menyerahkannya ke Parlimen.

Roshinee berkata dia hanya akan mendedahkan identiti Ahli Parlimen berkenaan minggu hadapan dan petisyen itu kini sedang menunggu semakan oleh pegawai Parlimen.

Jika bernasib baik katanya, petisyen itu akan diluluskan dan dibacakan dalam sidang Parlimen yang berlangsung bulan ini.

Namun, dia mengakui ia juga boleh ditolak jika gagal mematuhi format atau konvensyen Parlimen.

Roshinee turut menzahirkan penghargaan kepada pakar Parlimen Maha Balakrishnan kerana membantu menjayakan inisiatif tersebut.

Menurutnya, Maha sudah lama memperjuangkan sistem petisyen Parlimen, dan kempen ini tidak akan berjaya tanpa kajian dan atas usahanya.

Roshinee berharap dapatan itu dapat mengubah pandangan orang ramai terhadap penglibatan politik golongan muda.

“Saya harap analisis data ini menunjukkan bahawa golongan muda di Malaysia, khususnya wanita muda, sangat berminat dan terlibat dalam politik negara kita,” katanya.

Roshinee berkata kejayaannya banyak dibantu oleh rakan dan sukarelawan yang kebanyakannya terdiri daripada wanita.

Petisyen ini dilancarkan bagi menangani isu ketidakhadiran Ahli Parlimen. Masalah berulang menyebabkan kegagalan kerajaan meluluskan rang undang-undang pindaan Perlembagaan yang mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun pada Mac lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS