Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersatu dukacita tapi ikrar terus istiqamah dalam PN
Diterbitkan:  Jun 9, 2026 2:19 PM
Dikemaskini: 6:19 AM

Bersatu hari ini menyambut sikap tegas PAS memutuskan kerjasama kedua-dua parti dengan menegaskan komitmen mereka untuk kekal berada di bawah payung PN.

Mengakui “dukacita” dengan keputusan diambil PAS, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata sebelum ini kedua-dua parti menjalin kerjasama dengan luhur namun berubah akhirnya.

Dia juga menegaskan bahawa keputusan tersebut diambil oleh PAS sendiri.

“Bersatu melahirkan rasa dukacita kerana kerjasama yang dibina bersama PAS atas semangat dan persefahaman yang luhur telah dihentikan oleh PAS.

“Keputusan menghentikan kerjasama politik dan memutuskan hubungan dengan Bersatu adalah atas kehendak PAS.

“Sebagai parti pengasas PN, Bersatu akan terus kekal dalam PN dan memperkukuhkan teras perjuangannya,” kata bekas perdana menteri itu dalam kenyataan media, hari ini.

Malam tadi Jawatankuasa PAS Pusat – yang bermesyuarat dengan mandat majlis syura ulamanya – membuat keputusan memutuskan kerjasama mereka dengan Bersatu.

Perkara itu diumumkan oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, dalam kenyataan media selepas mesyuarat tersebut berakhir.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari, pula pagi tadi menjelaskan keputusan itu adalah “ubat pahit yang perlu ditelan demi kemaslahatan lebih besar.”

Ada hikmah di sebaliknya

Dia berkata, keputusan berkenaan tidak dipengaruhi sentimen atau kepentingan jangka pendek.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut memberi penekanan bahawa PAS dan Bersatu tidak lagi boleh terus berada “di bawah payung yang sama” berikutan keputusan yang dibuat semalam.

Bagaimanapun pendirian Bersatu itu mungkin menimbulkan pertikaian atau kemelut baru dalam PN. Walaupun didaftarkan oleh Muhyiddin, pentadbiran PN kini boleh dianggap berada di tangan PAS kerana kebanyakan jawatan utamanya dikuasai pemimpin parti tersebut.

Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar, misalnya kini menjadi Pengerusi PN, manakala setiausaha agung dipegang oleh Takiyuddin Hassan.

Untuk menerima kemasukan parti baru atau melakukan penyingkiran, keputusan bersama mesti diperolehi sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.

Parti-parti komponen PN juga setakat ini belum menyatakan pendirian masing-masing sama ada akan memihak kepada PAS atau Bersatu.

Menurut Muhyiddin, Bersatu akan terus memperkasa agenda prihatin rakyat yang dibawa PN sejak penubuhannya enam tahun lalu serta mendukung hasrat rakyat yang mahukan perubahan serta kepimpinan yang mewakili aspirasi seluruh warga Malaysia.

“Ahli parti dan rakan seperjuangan harus fokus kepada usaha memperkukuhkan PN.

“Setiap lapisan pimpinan dan ahli mesti terus meletakkan kepentingan rakyat sebagai fokus utama malah lebih bersemangat dengan ujian terbaru ini,” katanya.

Tambah Ahli Parlimen Pagoh itu, dia yakin rakyat yang mendukung cita-cita PN akan terus istiqamah bersama mereka.

“Insya-Allah, tentunya ada hikmah daripada apa yang berlaku. Semoga Allah SWT memberikan kita petunjuk, taufiq dan hidayah-Nya,” kata Muhyiddin lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS